Lima ditangkap, 24 motosikal disita dalam Op Samseng Jalanan

Tangkap layar video tular yang menyaksikan sekumpulan lelaki mengusung motosikal mereka dan diiringi kereta peronda polis.
Tangkap layar video tular yang menyaksikan sekumpulan lelaki mengusung motosikal mereka dan diiringi kereta peronda polis.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Sebanyak 24 motosikal disita dan 89 saman dikeluarkan dalam operasi samseng jalanan yang dilakukan di Kilometer 132 (arah utara) Lebuhraya Utara Selatan di sini pada Ahad.

Operasi dilakukan sepasukan polis dari Cawangan Trafik Bahagian Pencegahan Jenayah dan Komuniti dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah dan Peronda Lebuhraya Utara 2 Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, dalam operasi yang dijalankan bermula jam 1 pagi itu, pihaknya turut menangkap lima lelaki berusia antara 17 hingga 24 tahun kerana menduga kelajuan dan disyaki terlibat dengan lumba haram.

Menurutnya, pemeriksaan yang dibuat mendapati empat daripada mereka tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

"Kelima-lima lelaki terbabit telah dibawa balik ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) untuk siasatan lanjut dan kes di siasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Helmi memberi amaran kepada golongan remaja agar tidak terlibat dengan aktiviti lumba haram yang jelas melanggar undang-undang.

Katanya, selain mengundang padah kepada diri sendiri ia juga berbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

Sebelum itu, tular di laman sosial video sekumpulan lelaki mengusung motosikal diiringi kereta peronda polis hingga mengundang pelbagai reaksi netizen.

Artikel Berkaitan:

Rata-rata mereka mahu tindakan tegas diambil kepada kumpulan samseng jalanan yang bukan sahaja membahayakan nyawa orang lain malah menganggu ketenteraman awam pada waktu malam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!