Tiga mat rempit dicekup, 18 motosikal disita

Tiga penunggang motosikal yang ditahan polis pada Sabtu.
Tiga penunggang motosikal yang ditahan polis pada Sabtu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Polis menahan dua lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia selain menyita 18 motosikal kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti lumba haram di sekitar kawasan Lebuh Ismail Sultan di sini pada Sabtu.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Ibrahim Mat Som, kesemua tangkapan dibuat menerusi Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan bermula jam 12 tengah malam hingga 4.30 pagi.

“Operasi ini dibuat susulan aduan dan maklumat daripada orang awam berkaitan aktiviti lumba haram yang berlaku di kawasan berkenaan terutamanya pada hujung minggu.

“Siasatan mendapati, aktiviti berkenaan turut melibatkan kumpulan bermotosikal yang sering mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat setempat.

“Pada operasi kali ini, polis berjaya menahan dua lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia termasuk menyita sebanyak 18 motosikal,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, kesemua suspek didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Dalam masa sama 15 motosikal disiasat di bawah Seksyen 64 APJ 1987 dan tiga motosikal di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987.

"Polis menasihati semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang masih enggan mematuhi peraturan terutamanya kepada samseng jalanan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ibrahim, operasi itu juga akan diteruskan pada setiap minggu bagi mencegah gejala samseng jalanan yang sering mengganggu ketenteraman awam.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28