Lelaki direman dua hari bantu siasatan kes pecah rumah

Barangan elektrik yang dirampas daripada suspek ketika serbuan di Kampung Pok Ja Mahligai, Bachok pada Khamis.
Barangan elektrik yang dirampas daripada suspek ketika serbuan di Kampung Pok Ja Mahligai, Bachok pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki ditahan reman selama dua hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan kes pecah rumah di Kampung Tasek Mahligai, Bachok.

Lelaki berusia 44 tahun itu ditahan di Kampung Pok Ja Mahligai, Bachok pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail berkata, polis turut merampas beberapa barang termasuk sebuah televisyen, kipas angin, pemanas air elektrik, periuk nasi, sebuah enjin air.

"Pemeriksaan mendapati terdapat sebilah gergaji yang disyaki digunakan oleh suspek untuk melakukan jenayah berkenaan.

"Berdasarkan keterangan mangsa, tingkap di bahagian sinki dapur rumahnya terbuka manakala jeriji besi diumpil," katanya melalui satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau memberitahu, mangsa memaklumkan beberapa barangan di dapurnya hilang.

"Bertindak atas laporan polis yang diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah melalukan pemeriksaan di lokasi kejadian.

"Hasil pemeriksaan polis berjaya mengesan tiga cap jari dan bertindak atas maklumat yang diperoleh, polis mengadakan Op Lusuh/Op Pintu/Op Cantas dan berjaya menahan suspek sehari kemudian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas Mohamad, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai lapan rekod kesalahan lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.

Tambah beliau, ketika ditahan suspek juga positif methamphetamine selain mengaku terlibat dalam kejadian pecah rumah tersebut.

"Suspek serta semua barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok untuk tindakan lanjut," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28