15 Ketua Cabang PKR tolak kepimpinan Pengerusi MPN Sabah

Sazayle Donol (dua dari kiri) mengetuai sidang akhbar menolak kepimpinan kepimpinan Pengerusi MPN Sabah di Kota Kinabalu.
Sazayle Donol (dua dari kiri) mengetuai sidang akhbar menolak kepimpinan kepimpinan Pengerusi MPN Sabah di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seramai 15 Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sabah sebulat suara menolak kepimpinan Datuk Sangkar Rasam sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah.

Pendirian itu dinyatakan melalui akuan bersumpah (SD) mereka selain turut dimaklumkan dalam mesyuarat MPN yang diadakan pada Ahad.

Ketua Cabang Kota Marudu, Sazayle Donol Abdullah yang mewakili 15 cabang tersebut mengesahkan bahawa terdapat ketua cabang bertindak meninggalkan mesyuarat tersebut.

"Tindakan ini diambil selepas mengambil kira beberapa perkara termasuk kegagalan Pengerusi Negeri, Datuk Sangkar dalam memimpin parti di negeri ini.

"Sejak dilantik menjadi pengerusi pada 2022, beliau (Sangkar) belum pernah lagi mengadakan program bagi memperkasakan parti sama ada latihan strategi, latihan kepimpinan, latihan komunikasi dan penerangan, latihan pengucapan awam, latihan pilihan raya dan pelbagai lagi program.

"Apa yang dilakukan beliau hanyalah menganjurkan majlis makan-makan bagi menyambut pemimpin dari peringkat pusat yang turun ke Sabah," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Isnin.

Tambah beliau lagi, Sangkar juga tidak begitu dikenali selain tidak mendapat kepercayaan majoriti kepimpinan serta akar umbi parti.

"Kegagalan beliau juga telah menyebabkan PKR dipandang rendah bukan sahaja oleh rakan komponen Pakatan Harapan (PH) malah rakan dari Kerajaan Perpaduan.

Artikel Berkaitan:

"Semalam semasa mesyuarat MPN, Ketua Cabang Tuaran telah meluahkan masalah dan kelemahan kepimpinan negeri yang akhirnya beliau meminta pengerusi meletakkan jawatan dan berundur secara terhormat.

"Tindakan ini disusuli oleh beberapa lagi ketua cabang yang menyaksikan akhirnya mereka meninggalkan mesyuarat sebagai tanda protes terhadap kegagalan kepimpinan Datuk Sangkar," katanya.

Sehubungan itu, Sazayle Donol berkata, ketua cabang ini mengharapkan kebijaksanaan Presiden PKR bagi menyelesaikan kemelut ini terutama ketika parti bakal berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada bila-bila masa.

Sebelum itu, 14 ketua cabang lain yang menyatakan keputusan sama ialah Ketua Cabang Kota Belud, Datuk Mustapha Sakmud; Ketua Cabang Kota Kinabalu, Datuk Christina Liew; Ketua Cabang Sepanggar, Peto Galim - KC Sepanggar; Ketua Cabang Tuaran Razeef Rakimin dan Ketua Cabang Pensiangan, Raymond Ahuar.

Turut menyatakan keputusan sama ialah Ketua Cabang Sipitang, Wendey Agong; Ketua Cabang Beaufort, Dikin Musah; Ketua Cabang Beluran, Basran Omar; Ketua Cabang Kinabatangan, Azmi Tambuyong; Ketua Cabang Papar, Roslee Malek; Ketua Cabang Kimanis, Awang Chuchu; Ketua Cabang Kalabakan Roslan Sapar; Ketua Cabang Batu Sapi, Aris Remigius dan Ketua Cabang Semporna, Amin Mem.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!