Pekida gesa kerajaan gugur segera kerakyatan Ganesparan

Mohd Foad menyerahkan memorandum kepada Muhammad Zakwan (empat dari kanan), pada Jumaat.
Mohd Foad menyerahkan memorandum kepada Muhammad Zakwan (empat dari kanan), pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) menuntut kerajaan menggugurkan status kerakyatan N Ganesparan yang didakwa seringkali melakukan penghinaan terhadap Islam dan raja Melayu.

Presidennya, Datuk Mohd Foad Mat Isa berkata, penghinaan yang dilakukan lelaki itu adalah mencabar pihak berkuasa dan sistem undang-undang negara.

"Kita tuntut tindakan segera dilakukan kerajaan setidaknya dapat meredakan kemarahan umah Islam," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di sini pada Jumaat.

Saifuddin diwakili oleh Setiausaha Akhbarnya, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal.

Tegas beliau, jika kerajaan terus berdiam diri, pihaknya tidak teragak-agak untuk turun ke jalan raya bagi menuntut tindakan keras terhadap Ganesparan.

"Kami sanggup turun ke jalan walaupun di pagi Aidilfitri," katanya.

Pada Khamis, Ketua Penerangan MIC, R Thinalan turut menggesa kerajaan melucutkan kewarganegaraan Ganesparan selepas dia tidak lagi setia pada negara.

Lelaki itu didakwa menjadi ancaman kepada perpaduan dan keharmonian negara serta boleh menyebabkan berlakunya kegusaran awam termasuk pergolakan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memaklumkan notis merah tidak dapat dikeluarkan terhadap Ganesparan yang menghina agama Islam, Sultan Selangor serta menohmah polis kerana kesalahannya membabitkan isu agama dan perkauman.

Kesalahan itu tidak tersenarai dalam Artikel 3, Organisasi Polis Antarabangsa (Interpol).

Ganesparan dikesan telah meninggalkan Malaysia pada 2017 dan tidak pernah kembali ke negara ini serta kini berada di salah sebuah negara di Eropah.

Setakat ini, polis telah membuka 22 kertas siasatan terhadap Ganesparan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28