Sultan Perak bimbang pihak cetus api perkauman

Sultan Nazrin
Sultan Nazrin
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyuarakan kebimbangan tercetusnya api perkauman susulan kejadian melempar bom petrol ke dalam kedai serbaneka KK Mart Bidor pada 26 Mac lalu.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin berkata, baginda sudah disembah maklum mengenai kejadian itu oleh pihak polis dan meminta perkara tersebut diberikan perhatian serius.

"Baginda menyifatkan perbuatan permulaan yang berlaku ini merupakan petanda yang membimbangkan dan hendaklah diberikan perhatian serius melalui tindakan tegas agar api perkauman segera dibendung daripada merebak lebih luas.

"Namun baginda mempercayai majoriti rakyat Malaysia, bersikap rasional, moderat dan mengutamakan hubungan harmoni dan keamanan," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Mohd Zahidi turut memaklumkan bahawa Pejabat Sultan Perak telah membuat laporan polis pada Khamis susulan satu kenyataan tular atas nama Amanah Membina Negara yang dikaitkan dengan konteks yang salah petikan titah Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah di Kongres Pendidikan Melayu Kedua pada 27 Mac 2005 di Berjaya Times Square, Hotel & Convention Centre Kuala Lumpur.

Jelasnya, sepanjang titah itu, Sultan Nazrin tidak sama sekali mengait atau menzahirkan ungkitan terhadap mana-mana kaum di negara ini.

"Dipercayai ada pihak ketika ini yang memilih mahu menghidupkan bara perkauman dan keagamaan, hingga ke peringkat mengaitkan secara luar konteks titah yang dizahirkan oleh Raja Nazrin Shah pada tahun 2005.

"Demi melindungi nama baik Sultan Perak daripada diheret dan dicemari oleh mana-mana pihak untuk memenuhi agenda tersurat dan tersirat mereka, Pejabat Sultan Perak telah membuat laporan polis pada 28 Mac 2024," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Zahidi, baginda khuatir perbuatan tidak beretika mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman dengan mengaitkan secara luar konteks titah yang pernah dizahirkan atas nama Raja Muda Perak, 19 tahun lalu sebagai perbuatan menangguk di air keruh tidak bertanggungjawab serta membawa kesan langsung yang boleh menjejaskan ketenteraman awam di negara ini.

Jelasnya, baginda turut memberikan jaminan untuk memberikan naungan dan lindungan kepada setiap rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum serta agama secara adil.

Menurutnya, ini bertujuan agar setiap rakyat dapat terus hidup dalam rukun dan damai dengan bersama-sama membina serta membangunkan negara Malaysia yang aman lagi makmur.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28