Tiada istilah 'raya mengejut'

Proses penentuan anak bulan Syawal dilakukan menggunakan berbagai kaedah iaitu melalui pandangan mata kasar atau teodolite, dan teleskop bagi proses pengamatan hilal. Gambar hiasan
Proses penentuan anak bulan Syawal dilakukan menggunakan berbagai kaedah iaitu melalui pandangan mata kasar atau teodolite, dan teleskop bagi proses pengamatan hilal. Gambar hiasan
A
A
A

KURANG dua minggu lagi umat Islam akan mengakhiri ibadah puasa di bulan Ramadan, seterusnya menyambut Aidilfitri.

Seperti sedia maklum, proses penentuan anak bulan Syawal dilakukan oleh para ulama dan ahli falak menggunakan berbagai kaedah iaitu melalui pandangan mata kasar atau teodolite, dan teleskop bagi proses pengamatan hilal.

Hilal atau anak bulan merupakan fasa bulan yang paling nipis dan kurang bercahaya. Anak bulan akan muncul selepas bulan mengalami fasa ijtimak atau bulan gelap.

Terdapat tiga cara berbeza dalam menentukan awal bulan bagi Ramadan, Syawal (Aidilfitri) dan Zulhijjah (Aidiladha).

Pertama, rukyah (mencerap anak bulan semata-mata) dan kedua, hisab falak (kiraan hari semata-mata), manakala ketiga ialah rukyah dan hisab berdasarkan kriteria imkanur rukyah iaitu menggunakan hisab dalam menentukan kebolehnampakan anak bulan.

Malaysia salah sebuah negara yang mengamalkan praktis penentuan awal bulan melalui kaedah rukyah dan hisab.

Justifikasi pemilihan kaedah tersebut sebagai penyelesaian jalan tengah yang dilihat lebih hampir kepada kehendak syarak.

Pada tahun 2022 berlaku kejadian ‘raya mengejut’ apabila tarikh hari raya berlaku lebih awal menyebabkan orang ramai kelam kabut untuk melakukan persiapan raya.

Artikel Berkaitan:

Seperti kita sedia maklum, terdapat dua ketetapan tempoh berpuasa di bulan Ramadan iaitu sama ada 29 atau 30 hari.

Jika anak bulan kelihatan pada malam ke-29, bermakna tempoh berpuasa telah berakhir dan esoknya merupakan hari lebaran bagi meraikan kemenangan melaksanakan ibadah puasa wajib.

Seandainya anak bulan tidak kelihatan pada malam tersebut, umat Islam akan berpuasa sehari lagi.

Berdasarkan dua situasi itu, jelas menunjukkan sebenarnya tiada istilah ‘raya mengejut’ kerana umat Islam sudah sedia maklum tarikh cerapan anak bulan Syawal.

Mungkin kerana anak bulan jarang kelihatan dan lebih banyak tahun berpuasa genap 30 hari menyebabkan raya sehari awal itu dianggap satu perkara mengejutkan.

Bagi mereka yang hidup di era 1970-an dan awal 1980-an, pasti masih ingat beberapa kali berlaku raya awal sebaik sahaja pengumuman dibuat menerusi radio atau televisyen.

Tapi pada ketika itu, umat Islam tidak pula rasa kelam kabut, sebaliknya semua menerima ketetapan dengan tenang dan rasa syukur.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28