Umat Islam puasa mulai Selasa ini

Gambar hiasan. Foto Bernama
Gambar hiasan. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa pada Selasa (12 Mac 2024), demikian menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Ketika mengumumkannya, beliau berkata, tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari tersebut bagi menurut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman ringkas itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.

Sebelum ini, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui satu kenyataan menetapkan tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan permulaan puasa untuk umat Islam di Malaysia ialah hari ini, 10 Mac, Ahad bersamaan 29 Syaaban 1445 Hijriah.

Jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan melihat anak bulan Ramadan pada petang tadi di 29 lokasi penting di seluruh negara.

Di Wilayah Persekutuan ialah tingkat 13 di Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (Menara Kuala Lumpur) serta Pusat Konvensyen Antarabangsa dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis, Perlis.

Lokasi lain turut terpilih ialah Pontian Kecil (Johor); Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara (Melaka); Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson (Negeri Sembilan); Bukit Melawati (Kuala Selangor), Bukit Jugra, Banting (Kuala Langat) dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam.

Senarai lain, Pantai Pasir Panjang, mukim Pengkalan Baru, daerah Manjung (Perak) serta Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh (Pulau Pinang) manakala di Kedah, Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda, Pemandangan Indah (Pulau Langkawi) dan Menara Alor Setar, Alor Setar.

Artikel Berkaitan:

Lokasi turut terpilih di Terengganu ialah Bukit Besar (Kuala Terengganu), Bukit Geliga (Kemaman), Pulau Perhentian (Besut) dan Balai Cerap KUSZA (Mukim Merang, Setiu) manakala di Kelantan melibatkan Bukit Peraksi (Pasir Puteh), Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram (Kuala Krai) dan Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu.

Tiga tempat di Sarawak pula ialah Esplanade Luak (Miri), Teluk Bandung (Kuching), Tanjung Batu (Bintulu) dan satu lokasi di Sabah iaitu Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan serta tiga di Pahang merangkumi Bukit Tanjung Batu (Nenasi), Gunung Berincang (Cameron Highlands) dan Bukit Pelindung, Kuantan.

Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

@sinarharianonline

"Ramadan memupuk rasa syukur dan penghargaan di atas nikmat yang telah ALLAH SWT berikan." Selamat menjalankan ibadah puasa buat semua muslimin & muslimat. Nikmati Ramadan kali ini dengan penuh ikhlas dan kasih sayang. Marhaban Ya Ramadan Group Sinar Karangkraf #RezekiRamadan #SelamatBerpuasa #SinarKarangkraf #SinarHarian #SuaraRakyat

original sound - Sinar Harian