Pakai baju sukan pilihan terbaik

Sebahagian murid sekolah memakai pakaian sukan ekoran cuaca panas. Foto Bernama
Sebahagian murid sekolah memakai pakaian sukan ekoran cuaca panas. Foto Bernama
A
A
A

CUACA panas melampau meresahkan banyak pihak, tidak terkecuali murid sekolah yang masih belum dapat menyesuaikan diri dengan perubahan cuaca El Nino.

Keadaan bertambah sukar apabila terpaksa menjalani ibadah berpuasa dalam suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius setiap hari terutama di negeri Utara Semenanjung.

Senario itu mengundang ketidakselesaan murid khususnya murid Tahap Satu yang masih dalam tempoh percubaan berpuasa. Panas terik membuatkan persekitaran bilik darjah berbahang, ditambah pula jumlah murid yang ramai di dalam kelas.

Ramai ibu bapa mengeluh dan kasihan anak-anak mereka yang ‘kepanasan’ apabila dijemput pulang dari sekolah. Ada yang lesu tanpa sepatah kata, ada terus bersandar dan terlelap menahan dahaga, malah ada yang terus mencabut tudung di kepala dek rimas dengan bahang cuaca panas.

Baru-baru ini tular di media sosial seorang murid terbaring di lantai tempat menunggu ibu bapa selepas meletakkan beg sekolah, melempar tudungnya dan kemudian tidur.

Mujurlah ada ibu murid lain melihat ‘aksi’ tersebut. Sikapnya yang prihatin sangat membantu bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini. Si ibu mengambil tudung yang dilemparkan, memantau anak kecil itu dan meminta bantuan pengawal keselamatan turut sama memerhatikan murid berkenaan kerana bimbang terkena strok haba.

Itu baru satu kes yang berlaku di depan mata. Diharap ibu bapa cubalah seawal boleh menjemput anak dari sekolah daripada dibiarkan ‘berjemur’ di tempat menunggu. Jangan lupa galakkan mereka minum air secukupnya dan makan buah-buahan ketika berbuka puasa serta bersahur.

Keprihatinan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam isu tersebut amat dihargai apabila memberi kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana memakai pakaian sukan yang sopan.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan KPM pada Selasa, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan diminta melaksanakan langkah-langkah pencegahan seperti menangguhkan aktiviti luar bilik darjah jika cuaca terlalu panas, selain memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada cuaca panas agar kesihatan mereka tidak terjejas.

Sebelum ini KPM menetapkan pemakaian seragam sekolah dan baju sukan masing-masing selama dua hari, sementara sehari lagi memakai seragam kokurikulum setiap minggu.

Pasti anak-anak rasa sedikit lega dan lebih selesa mengikuti sesi pembelajaran apabila memakai baju sukan setiap hari sehingga fenomena El Nino berakhir.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Jumaat mengesahkan Perlis mengalami gelombang haba sejak 19 Mac. Amaran gelombang haba tahap dua turut dikeluarkan di Pokok Sena dengan ramalan suhu boleh mencecah sehingga 40 darjah Celsius.

Sebanyak 27 kawasan lain pada tahap berjaga-jaga dengan suhu maksimum harian sehingga 37 darjah Celsius, antaranya Pulau Langkawi, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Kubang Pasu, Kuala Muda dan Baling.

Di Alor Setar, suhu agak tinggi setiap hari. Sehingga jam 6 petang, suhu masih 35 darjah Celsius, ketika menghampiri 7 petang menurun kepada 32 darjah Celsius. Pada waktu malam pula masih tinggi dengan bacaan 29 darjah Celsius.

Keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan supaya aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan sementara waktu di kawasan berstatus cuaca panas tahap satu amat bertepatan.

Menurut kenyataan tersebut, jika status cuaca bertukar kepada gelombang haba (suhu melebihi 37 hingga 40 darjah Celsius), KPM boleh mengambil tindakan mengikut Pelan Tindakan Bagi Menangani Gelombang Haba 2016, Pelan Tindakan Pengurusan Risiko Kesihatan Akibat Gelombang Haba 2021 (KKM) dan Garis Panduan Penutupan Institusi Pendidikan (KPM).

Ia keputusan terbaik untuk semua. Mencegah lebih baik daripada merawat. Perlu diingat, pendedahan kepada cuaca panas secara berpanjangan boleh memudaratkan kesihatan terutama kepada kanak-kanak, warga emas dan pesakit kronik.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

* Roslinda Hashim ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Utara