Cuaca panas: Lima daerah di Johor alami gangguan bekalan air

Lima daerah di Johor mengalami gangguan bekalan air tidak terancang dan luar jangka. Foto hiasan
Lima daerah di Johor mengalami gangguan bekalan air tidak terancang dan luar jangka. Foto hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Cuaca panas berterusan yang melanda negara ketika ini menyebabkan lima daerah di Johor mengalami gangguan bekalan air tidak terancang dan luar jangka.

Pengendali perkhidmatan air Johor, Ranhill SAJ Sdn Bhd memaklumkan, lima daerah terjejas membabitkan beberapa kawasan di Johor Bahru, Muar, Batu Pahat, Kluang dan Kulai.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Sabtu, kesan cuaca panas yang sedang melanda negara memberi impak kepada sumber air dan kawasan tadahan di beberapa negeri termasuk juga di negeri ini.

Lima daerah terjejas membabitkan beberapa kawasan di Johor Bahru, Muar, Batu Pahat, Kluang dan Kulai.
Lima daerah terjejas membabitkan beberapa kawasan di Johor Bahru, Muar, Batu Pahat, Kluang dan Kulai.

Implikasi berkenaan tidak terhad kepada kawasan tadahan, tetapi juga memberi kesan kepada bekalan air bersih terawat yang menyumbang kepada gangguan bekalan air tidak terancang dan luar jangka kepada pengguna air di negeri ini.

"Punca gangguan bekalan air tidak terancang yang berlaku di beberapa daerah adalah disebabkan oleh peningkatan penggunaan air, paras tangki yang tidak stabil, perubahan cuaca, kemerosotan kualiti air dan kejadian paip pecah luar jangka.

"Ranhill SAJ terus bersedia bagi sebarang kemungkinan dengan menggerakkan bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki ke kawasan terjejas mengikut keperluan.

"Pengguna disaran untuk menggunakan air secara berhemah dan membuat simpanan air yang mencukupi," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Senarai penuh kawasan di lima daerah yang mengalami gangguan bekalan air tidak terancang dan luar jangka, disenaraikan di akaun Facebook 'Ranhill SAJ - Setitis yang bermakna'.

Semalam media melaporkan, paras simpanan air di tujuh buah Loji Rawatan Air (LRA) di Johor mencatat penurunan ketara dan dijangka sampai ke tahap kritikal, sekiranya cuaca panas berterusan melanda negara ketika ini.

Pengarah Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) Johor, Azlan Afandi Sauffee Afandi dilaporkan berkata, tiga empangan yang mencatat penurunan ketara ialah Empangan Machap di Kluang, Empangan Gunung Ledang di Tangkak, dan Empangan Gunung Pulai 2 di Kulai.

Empangan yang turut berdepan masalah susulan cuaca panas berterusan ialah Empangan Sembrong Barat; Empangan Ayer Hitam; Empangan Machap; Empangan Congok dan Upper Layang.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28