Had laju 40 kilometer sejam

Peta menunjukkan jalan yang dikekalkan had kelajuan pada 50 kilometer sejam dan jalan yang telah dikurangkan had kelajuan kepada 40 kilometer sejam.
Peta menunjukkan jalan yang dikekalkan had kelajuan pada 50 kilometer sejam dan jalan yang telah dikurangkan had kelajuan kepada 40 kilometer sejam.
A
A
A

GEORGE TOWN - Had kelajuan kenderaan di beberapa buah jalan yang berada di dalam kawasan Tapak Warisan Dunia George Town di sini telah diwartakan kepada 40 kilometer sejam berbanding 50 kilometer sejam sebelum ini.

Jalan-jalan itu ialah jalan tdalaman yang dilingkungi oleh Jalan Dr Lim Chwee Leong, Gat Jalan Prangin, Pengkalan Weld, Pesara King Edward, Lebuh Light, Lebuh Farquhar, Jalan Sultan Ahmad Shah dan Jalan Penang.

Selain itu, ia juga merangkumi Jalan Tun Syed Sheh Barakbah, Jalan Padang Kota Lama, Lebuh Duke, Jalan Green Hall, Gat Lebuh Leith, Lebuhraya Merdeka, Jalan Merdeka, Lintang Merdeka serta Pintasan Pengkalan 1, Pintasan Pengkalan 2, Pintasan Pengkalan 3 dan Pintasan Pengkalan 4.

Sementara itu, had laju bagi jalan-jalan utama seperti Jalan Dr Lim Chwee Leong, Gat Jalan Prangin, Pengkalan Weld, Pesara King Edward, Lebuh Light, Lebuh Farquhar, Jalan Sultan Ahmad Shah dan Jalan Penang dikekalkan pada 50 kilometer sejam.

Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Edward Tan berkata, kebanyakan jalan-jalan di dalam Tapak Warisan Dunia George Town agak sempit dan kenderaan sering dipandu laju terutamanya motosikal.

Katanya, keadaan itu amat membahayakan orang awam terutamanya pejalan kaki, penunggang basikal serta pengguna perkhidmatan beca.

"Mengikut kajian yang telah dijalankan di bandar-bandar lain, kebaikan mengurangkan had laju kenderaan ini antaranya mengurangkan kemalangan jalan raya di dalam kawasan warisan, meningkatkan tahap kebolehidupan di dalam kawasan warisan serta meningkatkan keselamatan pejalan kaki semasa bejalan di dalam kawasan warisan.

"Selain itu, ia mewujudkan persekitaran yang hijau kerana kajian menunjukkan karbon yang dibebaskan adalah lebih rendah apabila kelajuan kenderaan dikurangkan. Ia juga merupakan langkah awal bagi membolehkan langkah-langkah lain untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar dan meningkatkan tahap kebolehidupan seperti zon bebas kenderaan dan zon hijau," katanya di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Edward yang juga Pengerusi Gantian Jawatankuasa Infrastruktur dan Lalulintas MBPP berkata, di samping itu, tindakan itu juga adalah sebagai inisiatif bagi menghalang kenderaan yang seringkali diletakkan di persimpangan jalan sehingga mengakibatkan kesesakan lalulintas.

"Oleh itu, MBPP telah mengecat bebendul jalan (kerb) dengan cat merah putih supaya pemandu lebih peka dan tidak meletakkan kenderaan secara sembarangan.

"Bagaimanapun, tindakan penguatkuasaan adalah sama bagi semua kawasan yang tidak boleh parkir. Perbezaan warna 'kerb' ini hanya untuk meningkatkan kewaspadaan pemandu," tambah beliau lagi.