'Tiada keputusan rasmi UMNO, Warisan jalinan kerjasama' - Shafie Apdal

Mohd Shafie ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa di Surau Haji Md Yamin Kampung Surapit, Papar.
Mohd Shafie ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa di Surau Haji Md Yamin Kampung Surapit, Papar.
A
A
A

PAPAR - Walaupun ada perbincangan diadakan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, namun tiada sebarang keputusan rasmi dibuat untuk jalinan kerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) setakat ini.

Mengesahkan perkara itu, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengulangi pendirian kesediaan Warisan untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana parti termasuk UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

"Kita perlu mengakui bahawa sehingga kini, tiada keputusan telah dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO dan Warisan mengenai kerjasama ini.

"Saya mengesahkan bahawa perbincangan telah diadakan antara Presiden UMNO bersama Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin namun tiada keputusan rasmi dibuat oleh majlis tertinggi kedua-dua parti setakat ini berhubung kerjasama itu," katanya.

Mohd Shafie menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf ketika hadir Majlis Berbuka Puasa di Surau Haji Md Yamin Kampung Surapit, Papar.
Mohd Shafie menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf ketika hadir Majlis Berbuka Puasa di Surau Haji Md Yamin Kampung Surapit, Papar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Surau Haji Md Yamin Kampung Surapit di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang berkata, kerjasama itu bukannya perkara yang mustahil.

"Warisan tidak mempunyai sebarang masalah untuk menjalin kerjasama dengan UMNO Sabah sekiranya ia untuk kepentingan rakyat negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ditanya mengenai kerusi Dewan Undangan Limbahau (DUN) yang sebelum ini milik Warisan, Mohd Shafie memaklumkan, Warisan akan kekal meletakkan calon di kawasan tersebut pada PRN akan datang.

Menurutnya, kawasan itu merupakan kerusi tradisi Warisan dan dijangka menjadi penyumbang kepada kemenangan parti PRN nanti.

Tambah beliau lagi, sejak dari awal lagi Warisan mempunyai 29 kerusi termasuk DUN Limbahau sebelum wakil rakyatnya bertindak keluar parti dan menubuhkan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

"Dari awal Limbahau adalah sebahagian daripada kerusi yang kita menang semasa PRN lalu. Biasalah adat berunding mana kerusi yang kita menang ia adalah hak mutlak kepada parti yang memenangi kerusi tersebut.

"Tetapi apa yang penting, Warisan juga fleksibel kerana matlamat utama adalah kemenangan kepada kerusi di DUN Limbahau itu yang sangat penting. Bila tiba masanya kita akan buat keputusan dan tentukan kelak," katanya.

Pada PRN 2020, kerusi DUN Limbahau dimenangi Datuk Juil Nuatim atas tiket Warisan, namun beliau meninggalkan parti itu pada Disember 2021 dan kemudiannya menubuhkan KDM bersama bekas Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28