Masjid Al-Muttaqin lokasi utama World #QuranHour di Perak

Robaatun Hadayiah (tiga dari kiri) bersama Jamaludin (enam dari kiri) bersama pengurusan masjid Al-Muttaqin dan wakil Rumah Ngaji Negeri Perak mempromosikan World #QuranHour yang dijadual berlangsung pada 4 April depan.
Robaatun Hadayiah (tiga dari kiri) bersama Jamaludin (enam dari kiri) bersama pengurusan masjid Al-Muttaqin dan wakil Rumah Ngaji Negeri Perak mempromosikan World #QuranHour yang dijadual berlangsung pada 4 April depan.
A
A
A

IPOH - Masjid Al-Muttaqin, Taman Meru di sini akan menjadi tuan rumah penganjuran World #QuranHour Peringkat Negeri Perak yang akan berlangsung pada 4 April depan.

Pengerusi Rumah Ngaji Negeri Perak, Robaatun Hadayiah Harun berkata, seramai kira-kira 500 peserta dijangka hadir bagi penganjuran di lokasi utama berkenaan melibatkan ahli-ahli Rumah Ngaji di seluruh Perak serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, selain di Masjid Al-Muttaqin, setiap daerah di Perak juga terdapat dua hingga tiga hotspot bagi penganjuran World #QuranHour yang akan berlangsung serentak.

"Kita amat mengalu-alukan kehadiran orang ramai bukan sahaja peserta Rumah Ngaji. Program ini terbuka kepada semua peringkat usia.

"Orang ramai yang hadir juga akan diberikan al-Quran percuma untuk 500 orang," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas mesyuarat bersama pihak pengurusan Masjid Al-Muttaqin, Taman Meru di sini pada Rabu.

Hadir sama dalam mesyuarat tersebut, Pengerusi Masjid Al-Muttaqin, Jamaludin Mat.

Sementara itu, Robaatun Hadayiah berkata, bersempena penganjuran program tersebut, Majlis Khatam Al-Quran turut diadakan bermula jam 9 pagi sebagai sebahagian pengisian sebelum World #QuranHour pada jam 12 tengah hari.

Katanya, pengedaran bubur lambuk sebanyak 1,000 bekas turut diadakan selepas majlis untuk diberikan kepada orang ramai yang hadir.

Artikel Berkaitan:

"Bagi pihak Rumah Ngaji Negeri Perak, saya amat menghargai kerjasama serta komitmen diberikan oleh pihak masjid dan berharap program akan berjalan lancar.

"Kami juga akan membuat hebahan dalam kalangan ahli Rumah Ngaji di seluruh Perak bagi menguar-uarkan penganjuran program ini," katanya.

Robaatun Hadayiah berkata, program World #QuranHour akan diserikan dengan kehadiran bekas Johan serta Naib Johan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Perak iaitu Mohd Kamaruzaman Daud dan Mohd Sahran Termizi manakala pentadabbur pula, Dr Mohd Syafiq Sahimi.