Vietnam tak tunggu lama lepaskan Troussier

Troussier
Troussier
A
A
A

PERSEKUTUAN Bola Sepak Vietnam (VFF) tidak menunggu lama untuk menamatkan kontrak pengendali Philippe Omar Troussier lebih awal berikutan prestasi buruk Vietnam dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Kekalahan ketiga berturut-turut kempen dengan terbaharu 0-3 kepada Indonesia dalam aksi Kumpulan F di Stadium Nasional My Dinh, memanjangkan lagi persembahan tidak konsisten skuad kendalian pengendali kelahiran Perancis tersebut.

Vietnam ketika ini menduduki tangga ketiga dengan tiga mata manakala Indonesia kedua dengan tujuh mata dengan Iraq gah memimpin kumpulan dengan 12 mata.

Skuad bekas pemain pertahanan yang pernah menyarung jersi kelab Perancis, Angouleme (1976–1977), Red Star 93 (1977–1978), Rouen (1978–1981), Reims (1981–1983) sebelum ini juga tewas 0-1 kepada lawan sama dalam perlawanan di tempat lawan pada 21 Mac.

Kepimpinan VFF telah mengadakan pertemuan bersama Troussier selepas perlawanan itu memutuskan menamatkan kontrak dengan jurulatih yang memulakan karier pengurusan bersama INF Vichy (1983–1984) tersebut dengan serta-merta.

Sebagai rekod, kontrak Troussier pada awalnya dari Mac 2023 hingga 31 Julai 2026.

Sementara itu, Troussier mengucapkan terima kasih kepada pemain, kelab, VFF serta peminat atas sokongan padu yang mereka berikan sepanjang beliau mengendalikan pasukan Golden Star Warriors.

"Saya memohon maaf kepada penyokong-penyokong atas persembahan buruk pasukan yang tidak memenuhi jangkaan mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, VFF mengiktiraf sumbangan Troussier kepada pembangunan dan kemajuan bola sepak Vietnam.

"VFF pada masa sama memohon maaf kepada penyokong-penyokong Vietnam atas prestasi buruk pasukan itu.

"VFF berharap penyokong-penyokong akan terus meletakkan kepercayaan dan sokongan kepada kemajuan bola sepak Vietnam secara amnya dan pasukan kebangsaan khususnya," ujarnya.

Sepanjang bawah kendaliannya, pasukan senior itu tewas 10 daripada 11 perlawanan, manakala pasukan Bawah 23 tahun hanya meraih pingat gangsa pada Sukan SEA Kemboja 2023.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28