Fokus betulkan tajwid dan makhraj huruf

Mohd Hanifah (tiga dari kiri) mendengar bacaan daripada pelajarnya ketika bertadarus di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota, Kuantan.
Mohd Hanifah (tiga dari kiri) mendengar bacaan daripada pelajarnya ketika bertadarus di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota, Kuantan.
A
A
A

KUANTAN - Demi membantu masyarakat mendalami al-Quran, seorang imam tidak kenal erti penat bagi memimpin masyarakat sekitar untuk belajar dan membaca kalam suci itu dengan cara yang tepat sejak 15 tahun lalu.

Mohd Hanifah Seman, 40, berkata, pelajar di bawah bimbingannya terdiri daripada pelbagai peringkat umur, namun beliau lebih memfokuskan untuk membetulkan bacaan dalam kalangan dewasa dan warga emas.

"Seramai lebih kurang 100 pelajar yang aktif mengaji di masjid ini, tapi setiap hari saya hadkan kepada 40 orang pelajar sahaja.

MOHD HANIFAH
MOHD HANIFAH

"Saya tidak menerima pelajar yang ramai dalam satu masa kerana ingin memastikan sebutan huruf setiap pelajar dan bacaanya tepat terutama pada tajwid dan makhrajnya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota, di sini pada Selasa.

Guru hafiz al-Quran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) itu menambah, antara cabaran terbesar mengajar golongan dewasa terutama warga emas adalah dalam membetulkan tajwid dan makhraj huruf kerana kebanyakan mereka tiada asas dalam pembacaan al-Quran bertajwid.

Justeru, ujarnya, kelas tajwid secara khusus setiap minggu juga diadakan bagi memastikan setiap pelajar mahir dengan selok-belok ilmu tajwid secara teori.

Tambahnya, pembelajaran ini memerlukan tempoh masa yang agak lama untuk mahir.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hanifah (kiri) mendengar bacaan daripada pelajarnya ketika bertadarus di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota, Kuantan.
Mohd Hanifah (kiri) mendengar bacaan daripada pelajarnya ketika bertadarus di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota, Kuantan.

"Majoriti pelajar saya adalah pesara dan suri rumah, jadi mengajar tajwid tidak boleh laju. Saya mengambil tempoh dua hingga tiga tahun untuk habiskan teori tajwid sahaja," jelasnya.

"Tajwid adalah perkara yang sangat terkait rapat dengan pembacaan al-Quran dan tanpanya cacatlah al-Quran, dan pembaca yang sengaja meninggalkannya dikira berdosa" ujarnya.

Menjawab cadangan penggunaan aplikasi ThinkQuran dalam kelasnya, Mohd Hanifah berkata, aplikasi itu membantu orang ramai untuk lebih memahami al-Quran dengan bahasa yang mudah secara harfiyyah.

Jelasnya, kemudahan tersebut membolehkan orang ramai belajar memahami al-Quran mengikut waktu luang masing-masing.

"Aplikasi itu khusus untuk memahami kalimah al Quran dan di dalamnya juga ada latihan. Ini adalah satu aplikasi yang bagus dan baik.

"Insya-ALLAH saya akan perkenalkannya kepada para pelajar sebagai nilai tambah untuk memahami al-Quran secara harfiyyah," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28