Malaysia hantar lebih 400 tan bantuan kemanusiaan ke Gaza

Mohamad Hasan. - Foto Bernama
Mohamad Hasan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia sudah menghantar lebih 400 tan bantuan kemanusiaan secara berasingan ke Gaza sejak tahun lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penghantaran yang dijayakan bersama badan bukan kerajaan (NGO) itu turut melibatkan misi bantuan kemanusiaan sebanyak 100 kontena dari Kaherah ke Gaza yang diselia Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) pada Sabtu lalu.

"Kontena bantuan mengandungi 1,358 tan terdiri daripada bahan asas seperti tepung gandum, kotak makanan, barangan ibu dan bayi itu bernilai RM12 juta," katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat pada Selasa.

Dalam pada itu Mohamad memaklumkan, kerajaan bekerjasama rapat dengan kerajaan Mesir dan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) bagi memastikan akses bantuan sampai kepada rakyat Palestin yang memerlukan.

Malah Ahli Parlimen Rembau menjelaskan, ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan rasmi ke Mesir, Oktober lalu, turut berbincang dengan pemimpin tertinggi negara itu untuk memastikan kelancaran akses penyaluran bantuan yang diperlukan rakyat Palestin.

"Semasa lawatan khas Ahli-Ahli Parlimen ke Mesir yang diketuai oleh Timbalan Menteri Luar Negeri turut menyatakan kepada rakan sejawat beliau mengenai peranan penting Mesir dalam penghantaran bantuan kemanusiaan segera ke Gaza," jelasnya.

Sementara itu Mohamad berkata, Malaysia mengguna pakai rangka kerja perundangan antarabangsa berdasarkan Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 46/182 (1991) dalam menangani keperluan kemanusiaan yang mendesak di Gaza.

"Penghantaran barangan kemanusiaan sentiasa berpandukan kepada spesifikasi dan piawaian ditetapkan Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) yang jelas menyatakan prosedur kemasukan bantuan ke Gaza perlu melalui ERC.

Artikel Berkaitan:

"Antara barangan keperluan utama yang disenaraikan oleh ERC adalah bekalan makanan, minuman, ubat-ubatan, peralatan perubatan, barangan bayi dan wanita, selimut serta lain-lain keperluan kelangsungan hidup," katanya.