Melaka mahu wujudkan ladang bawang asnaf

Muhamad Akmal
Muhamad Akmal
A
A
A

JASIN - Kerajaan negeri mahu mewujudkan ladang bawang asnaf bagi meningkatkan taraf hidup golongan itu bermula tahun depan.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata, langkah itu tidak mustahil akan membawa transformasi kepada golongan itu untuk keluar daripada paras pendapatan garis kemiskinan (PGK).

Menurutnya, usaha itu juga sekali gus dapat meningkatkan tahap sara diri (SSL) bawang negara yang masih terlalu rendah.

Katanya, kerajaan negeri menyasarkan 50 peserta dalam kalangan penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sebagai peserta awal.

Muhamad Akmal (dua dari kiri) ketika menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Program Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Jasin kepada asnaf di Lipat Kajang, pada Selasa.
Muhamad Akmal (dua dari kiri) ketika menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Program Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Jasin kepada asnaf di Lipat Kajang, pada Selasa.

"Mereka yang terlibat mestilah merupakan asnaf berusia bawah 50 tahun dan mempunyai sihat tubuh badan supaya dapat mengikuti latihan pertanian secara percuma dari mula hingga akhir termasuk proses menuai bawang.

"Semua perbelanjaan awal akan diuruskan Pertubuhan Peladang dan agensi pelaksana lain, malah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan diwajibkan membeli semua hasil tanaman itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Jasin kepada 308 penerima asnaf di Dewan Lipat Kajang, di sini, pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, setakat ini proses mengenal pasti lokasi ladang berkenaan sedang dilakukan sama ada sesuai diwujudkan di tanah milik kerajaan yang terbiar ataupun tanah di bawah pencawang elektrik.

Menurutnya, permohonan projek itu juga telah dikemukakan kepada kementerian berkaitan seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang menyambut baik termasuk mempunyai bajet untuk disalurkan melalui Pertubuhan Peladang.

"Fokus kita untuk mengurangkan bilangan asnaf di negeri ini, contoh hari ini ada 308 asnaf, mungkin tahun depan berkurangan kepada 200 orang selepas mereka berjaya menyertai program itu," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!