Pendengaran kes petisyen PRN Gombak Setia bermula Isnin depan

PRN bagi kerusi DUN Gombak Setia menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan Megat Zulkarnain (kiri), Muhammad Hilman (tengah) dan Mohamed Salim.
PRN bagi kerusi DUN Gombak Setia menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan Megat Zulkarnain (kiri), Muhammad Hilman (tengah) dan Mohamed Salim.
A
A
A

GOMBAK - [DIKEMAS KINI] Pendengaran kes Petisyen Pilihan Raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia akan bermula Isnin depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata, prosiding itu akan berlangsung selama dua minggu hingga 22 Disember 2023 di Mahkamah Tinggi Ipoh, di hadapan hakim, Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Menurutnya, selaku responden, pasukan peguam belanya akan diterajui oleh peguam berpengalaman yang juga mantan Pesuruhjaya Kehakiman, Awg Armadajaya Awg Mahmud.

"Barisan peguam terdiri daripada Hasshahari Johari Mawi, Mohd Radzlan Jalaludin, Mohd Tajuddin Abd Razak, Muhamad Hafizan Shafuan Kamarulzaman, Shahir Ab Razak dan Wan Rohimi Wan Daud.

"Saya yakin dan bersedia untuk berhadapan dengan cabaran yang dikemukakan melalui petisyen ini," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor Ogos lalu, kerusi DUN Gombak Setia dimenangi Muhammad Hilman dengan majoriti tipis sebanyak 58 undi.

Beliau memperoleh 30,299 undi menewaskan dua pencabar lain iaitu Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN) dengan 30,241 undi manakala calon bebas, Mohamed Salim Mohamed Ali dengan 1,076 undi.

Megat Zulkarnain sebelum ini memaklumkan pihaknya mempertimbangkan untuk mengemukakan petisyen bagi membantah keputusan PRN DUN Gombak Setia.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut menyatakan untuk memfaikan petisyen membabitkan empat kerusi yang PH-BN tewas dengan majoriti rendah.

Bagaimanapun Oktober lalu, Amirudin memberitahu PH tidak meneruskan petisyen terhadap tiga kerusi DUN iaitu Taman Medan, Sungai Kandis dan Dengkil.

Ujarnya, hanya satu petisyen bantahan dikemukakan membabitkan DUN Gombak Setia oleh BN.