Polis tunggu keputusan cap jari bagasi RM500,000

Shahrulnizam. Laporan Sinar Harian.
Shahrulnizam. Laporan Sinar Harian.
A
A
A

PETALING JAYA - Polis sedang menunggu keputusan cap jari yang diambil dari bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 ditemukan tempat letak kenderaan sebuah pusat beli belah di Damansara, di sini Rabu lalu bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, hasil pemeriksaan menemui kesan cap jari dan polis sudah menghantarnya untuk dianalisa di makmal forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita masih menunggu keputusan cap jari terbabit dan setakat ini belum diperoleh.

“Pengarah syarikat terbabit juga masih belum tampil setakat hari ini bagi membantu siasatan berkaitan penemuan bagasi berisi wang tunai itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini pada Selasa.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pengawal keselamatan sebuah pusat beli-belah di Damansara menemui bagasi berisi wang tunai di tempat letak kenderaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, siasatan mendapati beg itu berisi wang kertas not RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000.

Beliau berkata, polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) namun tidak memfokus kepada lokasi bagasi ditemukan dan meminta pemilik bagasi tampil berserta bukti jika ingin menuntut wang berkenaan.

Susulan itu, polis menerima laporan daripada sebuah syarikat yang mendakwa bagasi berkenaan milik mereka namun sehingga kini individu itu belum tampil dengan memberi pelbagai alasan seperti bermesyuarat dan sakit.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!