Syarikat dakwa pemilik bagasi berisi RM500,000 belum beri keterangan - Polis

Media melaporkan seorang pengawal keselamatan menemukan sebuah bagasi berisi wang melebihi RM500,000 pada Rabu lepas.
Media melaporkan seorang pengawal keselamatan menemukan sebuah bagasi berisi wang melebihi RM500,000 pada Rabu lepas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis masih belum mengambil keterangan sebuah syarikat teknologi maklumat yang mendakwa bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 yang ditemukan di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya di sini, milik mereka.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengarah syarikat terbabit yang mendakwa wang tersebut adalah milik syarikatnya dan merupakan duit perniagaan.

"Kita menerima laporan daripada pengarah syarikat berusia lingkungan 40 tahun itu pada 11.30 pagi Khamis lepas.

"Ketua Balai Polis Damansara sudah memanggil pengadu terbabit untuk memberi keterangan, namun pengadu gagal hadir dengan pelbagai alasan seperti menghadiri mesyuarat dan sakit,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pengawal keselamatan berusia 30-an menemukan sebuah bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana berisi wang kertas not RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000 pada 8 pagi Rabu lepas.

Hussein dilaporkan berkata pihak polis telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat beli-belah itu, namun tidak meliputi lokasi bagasi ditemukan.

Beliau berkata sekiranya tiada individu atau pihak yang menuntut wang tersebut pihaknya akan menyerahkannya kepada mahkamah untuk tindakan selanjutnya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!