[VIDEO] Pengasas KK Mart, isteri didakwa di mahkamah lukakan perasaan orang Islam

A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd, Pengasas Kumpulan syarikat itu, Datuk Seri Dr KK Chai dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.

Kesemua mereka masing-masing berdepan satu pertuduhan melukakan perasaan agama orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah ALLAH, dua minggu lalu.

KK Chai atau nama sebenarnya Chai Kee Kan, 57, dan Siew Mui, 53, yang juga Pengarah KK Super Mart & Superstore membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim, Muhamad Anas Mahadzir.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja melakukan kesalahan itu di rak pameran jualan yang telah dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Bandar Sunway pada jam 6.30 pagi, 13 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda, atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, peguam, Datuk Rajpal Singh merayu agar dua anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar berjumlah RM12,000.

KK Chai. Foto Facebook KK Chai
KK Chai. Foto Facebook KK Chai

“KK Chai telah berkahwin dengan Siew Mui dan mereka dikurniakan dua cahaya mata berusia 21 dan 17 tahun.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun Siew Mui merupakan pengarah syarikat itu, namun dia merupakan seorang suri rumah malah KK Chai mempunyai 5,000 pekerja di 810 rangkaian kedai serbaneka di Malaysia, Nepal, India dan Brunei,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud membantah perkara itu dan memohon mahkamah menetapkan ikat jamin kepada setiap tertuduh sebanyak RM15,000 kerana mengambil kira sifat kes tersebut.

Selepas mendengar permohonan daripada kesemua pihak, Muhamad Anas membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 29 April depan untuk sebutan semula kes.

Dua minggu lalu, sekeping gambar yang memaparkan stoking tertera kalimah ALLAH dijual di sebuah KK Super Mart Bandar Sunway selepas ia dimuat naik oleh pengguna di media sosial.

Ia mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk kemurkaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan menitahkan semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan raja-raja.

Setakat Isnin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 178 laporan di seluruh negara berhubung ketidakpuasan hati terhadap isu penjualan stoking berkenaan.

PDRM turut menerima 30 laporan mengenai ketidakpuasan hati terhadap hantaran melalui Facebook mengenai isu sama.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28