X

Kindly register in order to view this article
!

Siasat pelanggaran intipan haram

A
A

TINDAKAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan rakaman perbualan peringkat tertinggi pemimpin negara dan negara asing melalui sidang media khas baru-baru ini sangat menghairankan dan didakwa telah merosakkan kredibiliti sendiri.

SPRM mendedahkan sembilan set rakaman percakapan selama 45 minit yang didakwa oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya sebagai konspirasi jenayah pada peringkat tertinggi.

Antara mereka yang terbabit dalam rakaman telefon tersebut ialah Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, Tan Sri Dzulkifli Ahmad (sebelum dan selepas menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM), Datuk Seri Azeez Rahim (Pengerusi Tabung Haji ketika itu), Putera Mahkota Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Mohammed Zayed Al Nahyan, Khaldoon Al Mubarak (UAE), Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Shukry Mohd Salleh dan Pegawai Khas Perdana Menteri ketika itu, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.

Sembilan klip audio itu berkisar mengenai cara kerajaan menguruskan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Antara rakaman yang saya fikir menarik ialah perbualan Shukri dengan Dzulkifli yang menunjukkan Najib tidak mempunyai data sepenuhnya mengenai kemasukan wang ke dalam akaun politiknya.

Ia konsisten dengan kenyataan Najib dalam mahkamah bahawa beliau tidak menguruskan akaun tersebut secara bersendirian.

Pendedahan kandungan audio itu menimbulkan pelbagai pendapat.

Ada yang berpendapat itu membuktikan konspirasi tahap tertinggi menutup skandal 1MDB.

Sebahagian lagi berpendapat pendedahan audio itu menunjukkan Najib tidak terbabit dengan sebarang komplot mencuri wang 1MDB.

Mereka berpendapat bekas Perdana Menteri itu cuba menyelesaikan skandal itu agar tidak merugikan Malaysia dan UAE.

Ada dua perkara yang sangat membimbangkan rakyat mengenai pendedahan rakaman audio tersebut.

Pertamanya, berlakunya intipan haram ke atas pemimpin politik dan pihak yang berkepentingan.

Menurut sumber, SPRM dan polis antara pasukan penguat kuasa undang-undang yang mempunyai kuasa dan kemampuan melakukan intipan ke atas perbualan telefon dan lain-lain rangkaian komunikasi.

Bagaimanapun, menurut undang-undang intipan, ia hanya boleh dijalankan dengan kebenaran Peguam Negara atau sesiapa yang berpangkat Pesuruhjaya ke atas.

Langgar undang-undang

Dalam konteks itu rakaman audio terbabit kemungkinan besar dilakukan secara haram sehingga SPRM terpaksa mengadakan sidang akhbar mendakwa mereka mendapat rakaman tersebut daripada pihak ketiga.

Intipan haram itu sangat membimbangkan kerana ia membolehkan pengintip menggunakan maklumat yang mereka dapat sebagai bahan peras ugut dan mendapat keuntungan tertentu.

Perkara kedua yang tidak kurang berbahaya kepada negara ialah SPRM kini telah menjadi sebuah agensi yang melanggar undang-undang secara semberono.

Pendedahan klip audio tersebut merupakan satu subjudis kepada kes yang sedang dibicarakan.

Ia boleh dilihat sebagai langkah terdesak kerajaan untuk mempengaruhi pemikiran hakim dalam kes SRC dan 1MDB.

Kita tidak menyatakan klip audio tersebut perlu disembunyikan namun apa yang dipertikaikan ialah cara SPRM bertindak mendedahkan kepada umum.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan tindakan SPRM itu sebagai unprecedented dan boleh menjejaskan hubungan diplomatik Malaysia dan UAE.

Kenyataan itu turut disokong oleh beberapa orang individu penting dalam kerajaan seperti peguam Haniff Khatri, Tan Sri Rais Yatim dan Datuk A Kadir Jasin yang melahirkan kebimbangan mereka terhadap tindakan SPRM itu.

Justeru, sebuah Suruhanjaya Diraja harus ditubuhkan bagi menyiasat secara terperinci pelanggaran undang-undang membabitkan intipan haram itu dan pelanggaran etika oleh SPRM.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)