Pemilik KDA FC terharu pemain sanggup turun gaji

Mohd Daud (tengah) bersama pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Shamsudin (kiri) dan Nafuzi (kanan) selepas sidang akhbar di Pejabat KDA FC pada Isnin.
Mohd Daud (tengah) bersama pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Shamsudin (kiri) dan Nafuzi (kanan) selepas sidang akhbar di Pejabat KDA FC pada Isnin.
A
A
A

PEMILIK majoriti Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar terharu dengan kepercayaan semua pemain dan staf kerana sanggup menerima gaji yang lebih kecil daripada tawaran pasukan sebelumnya.

Menurutnya, faktor penurunan gaji dari musim sebelumnya tidak menghalang untuk pemain yang baharu diikat musim ini balik membantu Sang Kenari bagi saingan Liga Malaysia 2024-2025.

“Apa yang membuatkan saya lebih terharu dan bersemangat untuk terus berjuang adalah pengorbanan pemain dan staf yang mahu terus bersama-sama kelab ini serta sanggup terima gaji yang lebih kecil.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pegawai dan pemain terutamanya pemain dan staf baharu yang bersama pasukan Sang Kenari.

“Kepercayaan anda akan dibalas dengan usaha keras pihak pengurusan untuk memastikan kebajikan pemain dan staf diberi perhatian pada masa hadapan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat KDA FC pada Isnin.

Jelas Mohd Daud, KDA FC juga memberi peluang kepada bekas-bekas pemain Kedah pada zaman juara berganda 2007 dan 2008 yang rata-rata menawarkan diri untuk berkhidmat dan membantu kelab pada musim ini.

Dalam perkembangan sama, bagi memastikan kelestarian semasa kewangan kelab, Mohd Daud berkata, pihaknya akan mengurangkan perbelanjaan pasukan itu sebanyak 35 peratus pada musim 2024-2025 berbanding peruntukan pada musim lalu.

Menurutnya, langkah tersebut dilakukan memandangkan musim ini adalah musim pertandingan yang abnormal melibatkan tempoh kontrak sekitar 14 hinga 15 bulan.

Artikel Berkaitan:

“Pihak pengurusan memandang serius dan mengambil iktibar atas semua isu yang berlaku dan merancang penyelesaian secara berhemah dan teliti agar kelab dapat meneruskan perancangan dan hala tuju masa hadapan dalam saingan Liga Malaysia,” ujar beliau.

Mengulas mengenai tunggakan gaji pada musim lalu, beliau menghulurkan permohonan maaf kepada semua pemain dan staf di atas belenggu tunggakan gaji musim lepas.

Tambahnya, KDA FC kini dalam proses melunaskan sebahagian tunggakan iaitu 50 peratus baki gaji pasukan musim 2023 dan akan melunaskan sepenuhnya tunggakan ini mengikut syarat yang diberikan oleh Malaysian Football League.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!