Keluarga Diraja Britain 'terharu' dengan sokongan selepas umum kanser

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

LONDON - Putera dan Puteri Wales dikatakan 'sangat tersentuh dan terharu' dengan kemesraan dan sokongan orang ramai berikutan pengumuman kanser, lapor PA Media/dpa.

Kate Middleton, 42, mendedahkan beliau sedang menjalani kemoterapi pencegahan menerusi satu video yang penuh emosi pada Jumaat.

Ia telah meraih sokongan global, termasuk daripada Raja Charles III, Duke dan Duchess of Sussex, tokoh politik dan orang ramai.

Jurucakap Istana Kensington pada Sabtu berkata: "Putera dan puteri, kedua-duanya sangat tersentuh dengan mesej baik daripada orang-orang di sini di UK, di seluruh Komanwel dan di seluruh dunia sebagai respons kepada mesej Duli Yang Teramat Mulia.

"Mereka sangat terharu dengan kemesraan dan sokongan orang ramai serta berterima kasih atas pemahaman permintaan mereka untuk privasi pada masa ini."

Charles yang disahkan menghidap kanser pada Februari, dikatakan berbangga dengan menantu kesayangannya itu kerana keberaniannya bercakap mengenai rawatannya dan telah terus berhubung rapat sejak beberapa minggu lepas.

Duke dan Duchess of Sussex turut menyampaikan kata-kata sokongan: "Kami mendoakan kesihatan dan penyembuhan untuk Kate dan keluarga dan berharap mereka dapat melakukannya tanpa gangguan dan secara aman."

Butiran lanjut mengenai jenis kanser tidak didedahkan, tetapi bakal ratu itu telah memulakan kursus 'kemoterapi pencegahan' lewat Februari dan dikatakan mempunyai pemikiran yang positif untuk pemulihannya dan berada dalam semangat yang baik, menggambarkan dirinya sebagai 'baik dan semakin kuat setiap hari.'

Artikel Berkaitan:

William dan Kate telah memberi tumpuan kepada anak-anak mereka, meluangkan masa untuk berkongsi keadaan kesihatan Kate dengan Putera George, Puteri Charlotte dan Putera Louis.

Pemimpin politik pelbagai parti turut melahirkan rasa simpati dan sokongan kepada Kate.

Setiausaha Luar UK David Cameron dalam hantaran di X menyatakan: "Kekuatan puteri - bercakap begitu terus terang, dengan semua tekanan publisiti dan membesarkan keluarga muda - adalah luar biasa dan benar-benar dikagumi di seluruh dunia."

Difahamkan mesej video itu, yang dirakam pada Rabu di Windsor, dikeluarkan pada hari tiga anak William dan Kate memulakan cuti sekolah sempena Paskah atau Easter, untuk memanfaatkan tempoh cuti itu bagi melindungi mereka daripada liputan kesihatan ibu mereka.

Pengumuman itu mungkin menamatkan spekulasi sengit dan teori konspirasi di media sosial sepanjang beberapa minggu mengenai keberadaan dan kesihatan bakal ratu itu.

Khabar angin dalam talian mengenai Kate semakin hangat selepas William terlepas, dalam notis yang singkat, upacara memperingati bapa baptisnya mendiang Raja Constantine dari Greece pada 27 Februari.

Kini difahamkan keputusan pewaris takhta itu untuk tidak hadir adalah berkaitan keadaan isterinya, tetapi tidak diketahui bila puteri itu diberitahu mengenai ujian positif kanser.

Spekulasi lanjut tercetus selepas puteri itu mengaku 'menyunting' gambar rasmi sempena sambutan Hari Ibu yang mempunyai beberapa kesilapan.

Perkembangan selanjutnya menyaksikan siasatan dilancarkan oleh badan pemantau privasi dan perlindungan data UK, Pejabat Pesuruhjaya Maklumat, atas dakwaan terdapat percubaan untuk mengakses rekod perubatan swasta Kate di Klinik London tempat beliau menjalani pembedahan.

Tidak diketahui berapa lama Kate akan menerima rawatan tetapi difahamkan beliau mungkin berminat untuk menghadiri acara tertentu pada bila-bila masa keadaan mengizinkan, selaras dengan nasihat perubatan, walaupun ini bukan petunjuk untuk kembali bertugas sepenuh masa.

William akan terus mengimbangi sokongan untuk isteri dan keluarganya serta mengekalkan tugas rasminya seperti yang telah dilakukannya sejak Kate menjalani pembedahan.

Pewaris takhta itu dijangka kembali menjalankan tugas awam selepas anak-anaknya kembali ke sekolah selepas cuti Paskah.

William dan Kate tidak akan menghadiri upacara sambutan perayaan Paskah keluarga diraja di Gereja St George Windsor Castle, yang Raja berharap dapat hadir bersama Ratu jika kesihatannya mengizinkan.

Ia tidak mungkin menjadi perhimpunan keluarga besar diraja, menurut akhbar The Telegraph, kerana Charles telah menangguhkan tugas diraja membabitkan penampilan awam.

Charles telah menerima rawatan kanser yang tidak didedahkan sejak awal Februari selepas beliau menjalani rawatan prostat di hospital sama lokasi Kate menjalani pembedahan abdomen. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28