Baddrol, pemain era 2007-2008 kembali ke KDA FC

Baddrol (kanan) semasa memantau pasukan KDA FC B23 pada aksi perlawanan persahabatan menentang skuad utama KDA FC di Stadium Sultan Abdul Halim pada Jumaat lalu. Foto KDA FC
Baddrol (kanan) semasa memantau pasukan KDA FC B23 pada aksi perlawanan persahabatan menentang skuad utama KDA FC di Stadium Sultan Abdul Halim pada Jumaat lalu. Foto KDA FC
A
A
A

BEKAS ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar diumumkan menyertai Kedah Darul Aman (KDA) FC sebagai Pengurus Pasukan KDA FC B yang akan beraksi di kejohanan Piala MFL (B23) musim 2024-2025.

Nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun itu diumumkan oleh pemilik majoriti KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar yang turut mengesahkan penglibatan beberapa bekas pemain lagi yang akan membantu dalam sistem pengurusan dan kejurulatihan Sang Kenari musim ini.

Mohd Daud berkata, fokus pengurusan ketika ini adalah untuk membina kembali zaman kegemilangan bola sepak Hijau Kuning seperti sewaktu zaman juara berganda pasukan tersebut pada musim 2007 dan 2008.

Menurutnya, pihaknya memberikan peluang kepada bekas-bekas generasi pemain waktu itu yang rata-rata menawarkan diri untuk kembali berkhidmat dan membantu kelab.

“Antara bekas pemain lain yang turut menawarkan diri adalah Ahmad Fauzi Saari yang dilantik sebagai Koordinator Pasukan Liga Super, Helmi Eliza Elias sebagai Penolong Jurulatih Penjaga Gol, Yang Berhormat Baddrol Bakhtiar sebagai Pengurus Pasukan KDA FC B.

“Selain itu, Shafizan Hashim sebagai Koordinator Pasukan KDA FC B di samping dua orang lagi anggota pasukan yang telah lama berada dalam struktur kejurulatihan pasukan iaitu Victor Andrag, Penolong Ketua Jurulatih Pasukan Liga Super KDA FC dan Abd Hadi Abd Hamid, Penolong Jurulatih Liga Super KDA FC,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat KDA FC pada Isnin.

Tambah beliau, turut bersama adalah Ketua Jurulatih Pasukan Liga Super Kedah, Nafuzi Zain yang merupakan antara anggota pasukan yang memenangi ‘treble’ musim pertama tahun 2007.

“Saya juga dengan bangganya mengumumkan perlantikan Pengarah Teknikal baharu KDA FC, iaitu bekas maestro bahagian tengah pasukan Kedah di zaman Double Treble, Nelson Marcelo San Martin Arriagada dari Chile.

Artikel Berkaitan:

“Tugas dan fokus utama beliau adalah untuk merancang dan memantau bakat muda Kedah selain menjadi inspirasi buat anak muda ini membina DNA masa hadapan pasukan Sang Kenari,” ujar beliau

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!