Polis Terengganu rampas mercun tanpa permit bernilai RM12,850

Polis Terengganu hanya meluluskan 128 daripada 158 permohonan permit menjual bunga api dan mercun sempena sambutan Aidilfitri setakat ini. - Gambar hiasan. Gambar kecil: Mazli
Polis Terengganu hanya meluluskan 128 daripada 158 permohonan permit menjual bunga api dan mercun sempena sambutan Aidilfitri setakat ini. - Gambar hiasan. Gambar kecil: Mazli
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM12,850 hasil serbuan di tiga daerah di negeri ini sejak 12 hingga 23 Mac lepas.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, daerah Dungun merekodkan kes penjualan mercun tanpa permit tertinggi iaitu sebanyak 11 kes; Kemaman (3) dan Marang (1).

"Dalam serbuan di kesemua daerah berkenaan, kita telah menahan lapan lelaki dan empat wanita berumur antara 29 hingga 64 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 Tahun Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu Tahun 2024 di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu dekat sini pada Isnin.

Mazli (tengah) Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 Tahun Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu
Mazli (tengah) Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 Tahun Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu

Mengulas lanjut, Mazli berkata, setakat ini pihaknya meluluskan 128 daripada 158 permohonan permit menjual bunga api dan mercun sempena sambutan Aidilfitri.

"Bagaimanapun kita tetap memantau penjualan mercun termasuk di bazar Ramadan bagi memastikan ia tidak memudaratkan keselamatan orang ramai sekali gus mematuhi undang-undang ditetapkan.

"Dari segi pemeriksaan, sehingga kini kita mendapati mereka yang diberi permit telah mematuhi segala peraturan, namun ada juga beberapa pihak yang melanggar (peraturan). Jadi kita juga telah membuat beberapa rampasan mercun yang dijual tidak mengikut permit dikeluarkan," katanya

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mazli menyatakan pihaknya turut menjalankan rondaan di semua bazar di negeri ini bagi memastikan penjual yang mempunyai permit sah sahaja boleh menjual jenis bunga api dibenarkan.

Menurutnya, tindakan undang-undang akan dikenakan kepada penjual yang tidak mempunyai permit sah selain ingkar terhadap peraturan ditetapkan.

"Setakat ini kita belum menerima apa-apa laporan mengenai orang awam yang cedera kerana bermain mercun.

"Jadi kita menasihatkan supaya masyarakat berwaspada selain tindakan tegas akan diambil kepada peniaga yang menjual mercun secara haram dan tanpa permit," ujarnya.