Sabar belajar teknik adun 10 jenis rempah-ratus

Azaruddin dan isterinya, Norhasnani mengusahakan rempah masak hitam Zahra di Lenggong.
Azaruddin dan isterinya, Norhasnani mengusahakan rempah masak hitam Zahra di Lenggong.
A
A
A

LENGGONG - Mengusahakan perniagaan ketika negara dilanda Covid-19, empat tahun lalu tidak mematahkan semangat buat pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk meneruskan perusahaan rempah masak hitam secara meluas di Lenggong, Perak.

Berkat kesabaran mempelajari teknik mengadun 10 jenis rempah-ratus, Azaruddin Sulaiman, 49, kini mempunyai perusahaan sendiri, Zahra Empire Marketing yang beroperasi di Bukit Nangka di sini.

Menurut Azaruddin, makanan tradisi Lenggong, daging masak hitam menjadi inspirasi untuknya memulakan perniagaan bersama isterinya, Norhasnani Azhari, 36, yang membantu menguruskan perniagaan.

Tambah beliau, juadah itu sukar diperoleh kerana proses perapan menggunakan pelbagai rempah dan ia dapat dirasai ketika ada keraian atau perayaan.

“Pada awal Disember 2019 perusahaan dijalankan secara kecil-kecilan di rumah sebelum pengoperasian sepenuhnya dilakukan selepas pencen dan memiliki bangunan sendiri pada Julai 2020.

“Ketika negara hadapi pandemik, ia bukan penghalang untuk memasarkan produk yang diusahakan.

“Walaupun jualan menurun, kita menggunakan sistem ejen di seluruh negara dan menggunakan platform media sosial untuk merangsang jualan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Artikel Berkaitan:

Tiga pekerja Azaruddin mengenakan pelitup diri ketika mengendalikan pembungkusan rempah masak hitam secara manual.
Tiga pekerja Azaruddin mengenakan pelitup diri ketika mengendalikan pembungkusan rempah masak hitam secara manual.

Mengakui tidak mempunyai asas perniagaan, Azaruddin berkata, sambutan pelanggan terhadap rempah masak hitam itu menyebabkan dia tekad menambah baik satu-satunya produk jualannya.

“Pelbagai persediaan dilakukan dengan mengikuti kursus kewangan daripada Lembaga Pertubuhan Peladang selain menerima bantuan daripada Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) antaranya papan tanda, kursus kepimpinan dan risalah.

“Kita lakukan kajian dan eksperimen beberapa kali hingga betul-betul mendapatkan keunikan rasa seperti zaman dulu-dulu dan kandungan rempah ini yang berkhasiat untuk kesihatan.

“Dengan menggunakan mesin yang dibeli sendiri, kita dapat menghasilkan antara 3,000 hingga 6,000 pek bersaiz 20 gram dan 75 gram,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya tidak terlepas berdepan dengan cabaran dalam mengusahakan rempah Zahra ketika negara kini berada pada fasa pemulihan ekonomi. “Kenaikan harga bahan mentah seperti lada hitam, jintan manis, bunga lawang, cengkih dan lain-lain tidak dapat dielakkan.

“Jika awalnya kita menjual setiap pek untuk memasak sekilogram daging pada harga RM2.20, kini dinaikkan kepada RM4. Kenaikan mendadak dalam tempoh dua tahun itu terpaksa dilakukan untuk seimbangkan antara modal dan keuntungan.

“Alhamdulillah, produk ini masih lagi mendapat permintaan kerana kelainan yang ditampilkan bukan sahaja memudahkan resipi masak hitam malah boleh dijadikan bahan perapan dan tambahan rasa dalam masakan berkari,” katanya.

Kata Azaruddin, beliau optimis dalam menjadikan rempah masak hitam tersenarai sebagai makanan warisan negara.

“Seiring Lenggong diiktiraf sebagai tapak warisan dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Geopark, makanan tradisional ini akan turut popular seperti produk pekasam.

“Tahun 2023, kami mewakili Lenggong ke Pesta Masakan Tradisional Perak selain mendaftar di platform Halal Street United Kingdom (UK) dan produk kami turut diperkenalkan menerusi Ekspo Pelancongan Malaysia di Dubai,” katanya.

Tambah pesara Pegawai Waran 1 TLDM itu, pihaknya menyasarkan perluasan rempah dengan memasuki pasar raya tempatan dan menembusi pasaran global terutama Brunei dan Australia.