Kumpulan orang awam pelbagai latar belakang tolak gesaan boikot KK Mart

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan orang awam pelbagai latar belakang menolak keputusan UMNO untuk menyokong penuh gesaan Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh memboikot rangkaian kedai serbaneka KK Mart dan lebih 5,000 pekerjanya yang terdiri daripada rakyat Malaysia pelbagai kaum.

Kumpulan itu menerusi satu kenyataan bersama pada Ahad berkata, pihaknya menuntut semua pihak supaya menerima proses penyiasatan dan keadilan yang sedang dilakukan pihak berkuasa ketika ini.

“Kami rakyat Malaysia daripada semua agama dan kaum menghormati kesemua nama-nama Tuhan daripada semua agama termasuk nama ALLAH SWT bagi orang Islam.

“Kami menerima permohonan maaf daripada pihak KK Mart terhadap kesilapan dan kecuaian wujudnya stoking berlabel ALLAH di dua cawangan daripada lebih 800 jumlah cawangan lain.

“Kami, rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum, budaya dan kepercayaan sama-sama memilih jalan hubungan nilai-nilai kasih sayang, maaf memaafi dan toleransi serta inklusif dalam menyelesaikan kesilapan, keterlanjuran dan kecuaian tanpa niat jahat di antara komuniti rakyat Malaysia kesemuanya,” kata mereka.

Akmal pada Selasa lalu dilaporkan menggesa rakyat untuk meneruskan usaha memboikot KK Mart yang terpalit dengan kontroversi kerana menjual stoking bertulis kalimah ALLAH.

Tegasnya, kempen boikot itu diadakan untuk memberi pengajaran keras kepada semua pihak yang sewenang-wenangnya memperlekehkan isu agama dan bangsa.

Mengulas lanjut, kumpulan 40 orang awam terbabit berkata, mereka selaku rakyat Malaysia yang menyokong UMNO sebagai salah satu daripada gabungan parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan, merasa kecewa, terkilan dan amat sedih atas tindakan UMNO mensia-siakan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membiarkan isu KK Mart ini diselesaikan oleh pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Kumpulan berkenaan mendakwa, pengkhianatan nasihat Perdana Menteri itu membuat mereka berpendapat bahawa UMNO tiada lagi layak menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.

“Ia kerana tindakan menghasut pemboikotan KK Mart ini melanggar kesemua prinsip Malaysia Madani, mengetepikan nilai-nilai Islam dan menyisihkan pedoman Rukun Negara,” ujar mereka.

Kumpulan tersebut terdiri daripada Pensyarah Universiti UCSI, Profesor Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi; anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail; Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Teh Yik Koon dan Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, Datuk ⁠Zarazilah Mohamed Ali.

Turut tersenarai dalam kumpulan itu ialah Pengasas Pergerakan Rapera, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos; Pengarah Pengajian Asia Universiti Tasmania, Profesor Dr James Chin dan bekas calon bebas kerusi Parlimen Wangsa Maju Pilihan Raya Umum ke-15, Ravee Suntheralingam.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28