QMSB kena hentikan segera tawar saham kepada orang ramai - SC

SC mahu QMSB segera menghentikan penawaran saham kepada orang ramai kerana telah melanggar keperluan di bawah undang-undang sekuriti. - Gambar hiasan
SC mahu QMSB segera menghentikan penawaran saham kepada orang ramai kerana telah melanggar keperluan di bawah undang-undang sekuriti. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Quantum Metal Sdn Bhd (QMSB) perlu segera menghentikan penawaran saham kepada orang ramai kerana telah melanggar keperluan di bawah undang-undang sekuriti.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam satu kenyataan berkata, QMSB gagal mendapatkan pengiktirafan dan mendaftarkan dokumen sekali gus ia telah melanggar Seksyen 212 (5) Akta Pasaran Modal & Perkhidmatan 2007.

“Kami minta supaya Pengasas dan Pengarahnya, Datuk Lim Khong Soon untuk segera menamatkan penawaran saham kepada masyarakat umum.

“Mereka menawarkan saham kepada masyarakat menerusi laman sesawang QMSB termasuk ahli, namun gagal mendedahkan dokumen berkaitan kepada pihak SC,” katanya pada Ahad.

Pada 22 Januari lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) menafikan telah melulus dan melesenkan aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh QMSB.

BNM dalam satu kenyataan berkata, terdapat pelbagai alasan dan dakwaan tular di media sosial apabila nama BNM dipetik bagi meredakan isu yang melingkari QMSB.

Mengulas lanjut, menurut SC, orang ramai perlu melaporkan sebarang tawaran produk pasaran modal tidak berlesen daripada individu yang mencurigakan.

Ujarnya, pelabur dinasihatkan supaya berhati-hati dalam melakukan sebarang penawaran pelaburan kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

“SC juga telah meletakkan QMSB dengan butiran berkaitannya dalam Senarai Makluman Pelabur SC http://www.sc.com.my/investor-alert.

“Sebarang aduan boleh dibuat melalui laman sesawang aduan@seccom.com.my atau hubungi 603-6204 8999,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28