BNM nafi lulus, lesenkan perniagaan Quantum Metal

BNM menafikan telah melulus dan melesenkan aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh QMSB.
BNM menafikan telah melulus dan melesenkan aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh QMSB.
A
A
A

SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) menafikan telah melulus dan melesenkan aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh Quantum Metal Sdn Bhd (QMSB).

BNM dalam satu kenyataan berkata, terdapat pelbagai alasan dan dakwaan tular di media sosial apabila nama BNM dipetik bagi meredakan isu yang melingkari QMSB.

“BNM hari ini tampil memberi penjelasan mengenai beberapa dakwaan salah yang tular termasuk aktiviti QMSB diluluskan dan dilesenkan oleh BNM, tidak benar.

“Sebagai sebuah institusi pelopor, QMSB perlu melaksanakan langkah pencegahan untuk mengelakkan aktiviti institusi tersebut daripada disalahgunakan sebagai saluran pengubahan wang haram atau pembiayaan keganasan,” katanya pada Isnin.

QMSB merupakan institusi pelapor di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) kerana berurusan dengan logam atau batu berharga iaitu aktiviti yang disenaraikan sebagai perkara 24 di bawah Bahagian 1 dalam Jadual Pertama AMLA.

Bagaimanapun, BNM menegaskan status QMSB sebagai institusi pelopor tidak bermakna produk dan aktiviti perniagaan seperti dagangan emas telah didaftarkan, diluluskan atau dilesenkan di bawah undang-undang yang ditadbir oleh BNM.

Kenyataan akhbar BNM.
Kenyataan akhbar BNM.

“Kami juga maklum mengenai pelbagai dakwaan di media sosial bahawa semua transaksi masuk dari luar negara memerlukan kelulusan dan pengesahan BNM berhubung AMLA.

Artikel Berkaitan:

“Sebarang aliran masuk dana ke dalam negara, kecuali untuk tujuan peminjaman luar pesisir melebihi had tertentu yang diperuntukkan di bawah dasar pertukaran asing, tidak memerlukan pengesahan dan kelulusan BNM,” jelasnya.

Tambah BNM, tiada sesiapa boleh menyalahgunakan nama pihaknya termasuk urusan surat-menyurat sehingga mengundang salah faham bahawa produk atau perkhidmatan mereka diluluskan.

Katanya, dakwaan mempunyai kaitan dengan BNM oleh mana-mana entiti atau individu tidak seharusnya dijadikan satu-satunya pertimbangan bagi menentukan kesahihan perniagaan tersebut.

“BNM ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada apabila membuat keputusan pelaburan.

“Sebarang aktiviti kewangan yang disyaki dilakukan tanpa kebenaran hendaklah dilaporkan kepada pihak penguatkuasa undang-undang berkaitan,”ujarnya.