Wajar pertimbangkan kenaikan gaji guru Pasti

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

ISU memperjuangkan gaji selayaknya diterima oleh rakyat Malaysia masih lagi berlaku walaupun sudah memasuki tahun 2024 dan seolah-olah tiada jalan penyelesaian terhadap permasalahan tersebut.

Biarpun kerajaan telah menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,500, tetapi isu ini kembali hangat diperkatakan oleh masyarakat susulan gaji yang diterima guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) didakwa berada bawah paras berkenaan.

Sebelum itu, tular satu memo daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mengenai arahan siasatan pemeriksaan berkanun terhadap Pasti.

Arahan siasatan tersebut turut melibatkan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam atau SMITI kerana membayar gaji rendah kepada kakitangan di bawah kadar gaji minimum.

Guru-guru Pasti didakwa menerima serendah RM500 bergantung yuran dibayar ibu bapa dan kadarnya pula berbeza mengikut kawasan selain dilaporkan tidak mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta tidak mempunyai pencen malah tidak dibayar tuntutan kerja lebih masa.

Susulan itu, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mempersoalkan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan JTKSM yang mahu menyiasat Pasti walaupun semua gurunya merupakan 'sukarelawan'.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (Sumber Manusia), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Arau, Dr Muhammad Aiman Arifin mencadangkan agar diwujudkan satu garis panduan atau polisi jelas mengenai pekerja sukarela bagi melindungi kumpulan tersebut disebabkan status yang tidak jelas.

Ia cadangan yang wajar dipertimbangkan berikutan isu pokoknya adalah apabila status mereka sebagai pekerja sukarela tetapi menjalankan tugas seperti pekerja yang berjadual.

Artikel Berkaitan:

Tidak cukup dengan itu, tanggungjawab kerja yang perlu dilaksanakan guru Pasti juga berganda-ganda, malah anak-anak dapat mengenal asas agama dengan lebih baik melalui silibus ditetapkan.

Selain itu, gaji yang rendah ini turut memberi kesan antaranya mereka tidak mampu untuk menampung kos sara hidup terutama dengan kenaikan harga barangan pada masa ini.

Walaupun terdapat segelintir guru Pasti yang tidak mengeluh mengenai gaji rendah yang diterima dan ikhlas menjalankan tanggungjawabnya, namun majikan sewajarnya tidak mengambil kesempatan tersebut.

Oleh itu, diharapkan agar ada satu polisi yang jelas bagi melindungi kumpulan terbabit kerana ia bukan sahaja membantu mendapatkan pendapatan lebih baik sebaliknya turut memberi semangat kepada mereka dalam melakukan pekerjaan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28