‘Tawaran’ tidak cerminkan kematangan politik

Laporan Sinar Harian pada 23 Mac. Gambar kecil: Mohd Suhaimi
Laporan Sinar Harian pada 23 Mac. Gambar kecil: Mohd Suhaimi
A
A
A

ALOR SETAR - Tawaran kerajaan membabitkan draf dokumen memperincikan rundingan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang tidak mencerminkan kematangan politik Kerajaan Perpaduan.

Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah berkata, kematangan sesebuah kerajaan dilihat dari aspek penyelesaian masalah rakyat dan bukannya ‘tawaran hebat’.

Menurutnya, Kerajaan Madani belum mencapai tahap matang kerana banyak isu membabitkan kepuasan rakyat belum dapat diatasi.

“Kerajaan yang matang jika berjaya selesaikan sesuatu isu dengan kaedah berkesan, termasuk penyelesaian terhadap isu rakyat seperti harga barang, masalah pengangguran, inflasi atau keselamatan negara,” katanya di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada ‘tawaran’ tersebut menunjukkan Kerajaan Perpaduan mengamalkan politik matang dalam pentadbirannya.

Dalam pada itu, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah itu memaklumkan, semua Ahli Parlimen Bersatu akan dipanggil bagi membincangkan isu-isu berbangkit melibatkan hak mereka termasuk isu berkenaan.

“Satu keputusan bersama akan dibuat sama ada bersetuju atau menolak sesuatu isu yang dibincangkan.

“Sudah menjadi tradisi dan perkara wajib apabila sesuatu isu berbangkit berhubung ahli Parlimen, kami akan dipanggil dan diberikan taklimat seterusnya berbincang secara terperinci berhubung isu tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Kaedah itu diamalkan sejak dahulu, sebab itu sesuatu isu atau perbahasan di Parlimen, diadakan taklimat awal untuk memahaminya agar tidak berlaku percanggahan,” katanya lagi.

Mohd Suhaimi bagaimanapun, menegaskan belum melihat kandungan draf perjanjian baharu itu yang diterima Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Khamis.

“Saya tak baca lagi draf itu, jadi tak dapat nak ulas pro dan kontranya,” ujarnya ketika ditanya sama ada telah meneliti inti pati draf perjanjian dihantar kerajaan kepada wakil perundingan PN berhubung perbincangan peruntukan pembangunan kawasan ahli Parlimen pembangkang.

Pada Khamis, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mengesahkan pihaknya telah menerima satu kertas draf memperincikan perkara berkaitan rundingan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Setiausaha Agung Bersatu itu jelaskan, PN akan meneliti perkara dan syarat yang terkandung dalam draf perjanjian berkenaan sebelum membuat keputusan akhir.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!