Aduan jenayah, perkembangan laporan polis antara isu tumpuan

Orang ramai tidak melepaskan peluang bertemu Ketua Polis Daerah pada Hari Bertemu Pelanggan pada Sabtu.
Orang ramai tidak melepaskan peluang bertemu Ketua Polis Daerah pada Hari Bertemu Pelanggan pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertanyaan berkaitan perkembangan laporan polis yang pernah dibuat selain aduan jenayah antara isu dikemukakan orang ramai dalam Hari Bertemu Pelanggan yang dijalankan di 16 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh Selangor pada Sabtu.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar IPD Klang Selatan mendapati orang ramai mula hadir di lokasi sekitar jam 9 pagi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sambutan yang diterima menerusi program ini dilihat baik dan menerima maklum balas yang positif.

"Memandangkan ia merupakan kali pertama seumpamanya dianjurkan oleh Polis Selangor, bagi saya, maklum balas yang disampaikan oleh orang ramai amat menggalakkan.

"Mereka rata-ratanya mengambil peluang untuk mengemukakan pelbagai perkara berbangkit antaranya laporan polis yang pernah dibuat sebelum ini serta pelbagai isu lain," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Katanya, susulan itu, pihaknya bercadang untuk meneruskan lagi Hari Bertemu Pelanggan bagi Selangor ini di masa hadapan.

"Konsep yang kita bawakan tetap sama yang mana melibatkan Ketua Polis Daerah di setiap IPD.

"Malah dari segi masa penganjurannya itu, kita akan adakan sekali dalam setiap bulan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, Polis Selangor menerapkan kelainan dalam memberikan khidmat kepada masyarakat dengan menampilkan Ketua Polis Daerah di 16 daerah bagi mendapatkan reaksi berkait sebarang isu jenayah menerusi Hari Bertemu Pelanggan.

Program yang bermula jam 9 pagi sehingga 12 tengah hari ini dianjurkan sempena sambutan Hari Peringatan Polis ke-217.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28