'Bantu ringan beban ibu bapa'

Mohammed dan Hussamuddin (tengah) bergambar bersama warga PPZ-MAIWP, pengurusan Kumpulan Karangkraf, MyCP dan Bikeisable di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis.
Mohammed dan Hussamuddin (tengah) bergambar bersama warga PPZ-MAIWP, pengurusan Kumpulan Karangkraf, MyCP dan Bikeisable di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama rakan media Sinar Harian dan Malaysian Advocates for Cerebral Palsy (MyCP) menganjurkan program Ziarah Ramadan di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis untuk menyumbangkan RM36,000 kepada 36 keluarga anak istimewa di bawah naungan Persatuan Bikeisable.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan berkata, program itu dibuat bagi menyantuni ‘anak-anak syurga’ dan membantu meringankan beban keluarga dalam menampung perbelanjaan harian golongan istimewa terbabit khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Mohammed
Mohammed

Menurutnya, perkara paling menyentuh hati adalah melihat pengorbanan ibu bapa membesarkan anak-anak penghidap Cerebral Palsy dengan penuh sabar dan ia merupakan nikmat kurniaan ALLAH SWT yang tidak ternilai serta ‘tiket’ mudah untuk ke syurga kelak.

“Alhamdulillah ada 36 penerima dan kita beri juga tambahan RM10,000 buat MyCP menjadikan keseluruhan sumbangan kewangan RM46,000 untuk menjalankan aktiviti melibatkan anak-anak ini.

“Walaupun amaunnya tidak seberapa jika dibandingkan dengan pengorbanan ibu bapa, diharapkan pemberian ini bermakna untuk mereka menjalani ibadah puasa dan raya.

Mohammed menyantuni anak-anak istimewa iaitu penghidap cerebral palsy selepas program Ziarah Ramadan Anak Istimewa di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis.
Mohammed menyantuni anak-anak istimewa iaitu penghidap cerebral palsy selepas program Ziarah Ramadan Anak Istimewa di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis.

“Bagi saya, kita sebagai masyarakat kena menyokong kerana sekurang-kurangnya ia mampu meringankan beban ibu bapa dari segi fizikal serta emosi sepanjang menjaga anak-anak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Program Ziarah Ramadan diceriakan dengan alunan surah ar-Rahman daripada anak istimewa, Tuan Zuhayr al-Mundzir Tuan Mohd Azreen Azhar, 13, dan turut menampilkan selebriti jemputan iaitu Faizal Tahir, Presiden Bikeisable, Wira Sudepja Rabu serta Ustaz Faizul Shaifee bagi berkongsi pengalaman menjaga golongan kelainan upaya menerusi sesi bual bicara bertajuk ‘Anak Syurga Luar Biasa’.

Adik Tuan Zuhayr al-Mundzir (kanan) yang menghidap cerebral palsy lancar mengalunkan surah ar-Rahman ketika berlangsungnya program Ziarah Ramadan Anak Istimewa.
Adik Tuan Zuhayr al-Mundzir (kanan) yang menghidap cerebral palsy lancar mengalunkan surah ar-Rahman ketika berlangsungnya program Ziarah Ramadan Anak Istimewa.

Hadir sama, Pengurus Besar Kanan Sumber Manusia PPZ-MAIWP, Azrin Datuk Abdul Manan; Pengerusi MyCP, Dr Nurulhuda Abdul Rahman; Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf Sdn Bhd, Farah Hussamuddin dan ibu bapa penerima sumbangan daripada Bikeisable.

Tambah beliau, orang ramai yang masih belum menunaikan zakat fitrah diminta untuk berbuat demikian dengan kadar segera kerana dikhuatiri peristiwa sambutan hari raya pada 2022 lalu berulang kembali menyebabkan sistem pelayan dalam talian PPZ-MAIWP menghadapi masalah.

Mohammed (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kewangan bernilai RM36,000 kepada Presiden Bikeisable, Wira Sudepja Rabu (dua dari kiri) ketika program Ziarah Ramadan Anak Istimewa.
Mohammed (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kewangan bernilai RM36,000 kepada Presiden Bikeisable, Wira Sudepja Rabu (dua dari kiri) ketika program Ziarah Ramadan Anak Istimewa.

Bagi bayaran zakat fitrah boleh dilakukan di mana-mana Kaunter PPZ-MAIWP atau secara dalam talian di fitrah.zakat.com.my.

Orang ramai juga digalakkan menunaikan zakat harta di bulan Ramadan melalui saluran bayaran yang disediakan seperti Kaunter PPZ-MAIWP, Aplikasi MyZakat, portal zakat www.zakat.com.my, Skim Potongan Zakat Bulanan, Kaunter Zakat Bergerak, Kaunter Zakat Digital atau melalui ejen-ejen kutipan zakat yang dilantik.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28