'Mimpi ngeri' kemanusiaan terburuk

Kumpulan pelarian dari Sudan yang melarikan diri dari zon konflik tiba di pusat transit di Renk.
Kumpulan pelarian dari Sudan yang melarikan diri dari zon konflik tiba di pusat transit di Renk.
A
A
A

KHARTOUM - Sudan sedang berdepan salah satu 'mimpi ngeri' kemanusiaan terburuk dalam sejarah ketika komuniti antarabangsa memberi tumpuan kepada perang Gaza.

Pertempuran antara angkatan tentera pimpinan Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) di bawah Mohamed Hamdan Dagalo sejak April 2023 telah meragut puluhan ribu nyawa dan mencetuskan krisis kebuluran di negara itu.

“Penilaian situasi di Khartoum dibuat berdasarkan skala keperluan mendesak penduduk, jumlah mereka yang hilang tempat tinggal dan bilangan individu kelaparan,” kata Pengarah Operasi di Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Edem Wosornu pada Rabu.

Beliau turut menyelar sikap tidak peduli antarabangsa yang 'terlepas pandang' terhadap nasib populasi negara itu yang terkesan akibat konflik dalaman tiada kesudahan.

Data PBB menunjukkan, krisis itu telah menyebabkan lebih lapan juta orang terpaksa menjadi pelarian dalam negara sendiri.

Pada awal bulan lalu, Majlis Keselamatan PBB (UNSC) menggesa pelaksanaan gencatan senjata segera pada Ramadan selain menuntut akses lebih baik untuk bantuan kemanusiaan.

Tetapi, Sudan juga senasib dengan Gaza apabila dua pihak gagal mencapai kesepakatan untuk melaksanakan tempoh bertenang sepanjang bulan suci ini.

Artikel Berkaitan:

Pertempuran antara angkatan tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) telah memburukkan lagi krisis kemanusiaan di negara itu.
Pertempuran antara angkatan tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) telah memburukkan lagi krisis kemanusiaan di negara itu.

Kebimbangan semakin meningkat berikutan lebih 18 juta menghadapi kekurangan makanan teruk yang menyaksikan peningkatan seramai 10 juta orang berbanding tempoh sama pada tahun lalu manakala kira-kira 730,000 kanak-kanak mengalami malnutrisi.

Selain itu, hampir lima juta di beberapa kawasan di negara tersebut berisiko terjerumus dalam bencana ketidakjaminan makanan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Timbalan Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP), Carl Skau memberi amaran tahap kebuluran teruk berpotensi melanda Khartoum apabila musim pertanian bermula pada Mei depan.

Terdapat juga pelarian yang kini berlindung di negara-negara jiran termasuk Sudan Selatan.

“Keadaan di sini amat sukar. Keluarga saya bergantung sepenuhnya dengan hasil pendapatan daripada menjual teh,” kata Nyakuoth Gadluak yang kini tinggal di kem transit di bandar Renk.

Wanita itu menjelaskan dia kehilangan suaminya ketika perang dan mempunyai seorang anak lelaki yang kekurangan zat makanan.

“Kebanyakan pelarian dari Khartoum yang tiba di sini dalam keadaan kelaparan. Mereka melarikan diri daripada kawasan yang terjejas akibat pertempuran berterusan,” ujar wartawan, Malcom Webb yang melaporkan untuk Al Jazeera di kem sempadan berkenaan.

Di kem itu, WFP turut mendaftarkan ketibaan baharu bagi mengemaskini pangkalan data pelarian walaupun PBB mendakwa ia semakin kekurangan dana untuk menangani krisis berkenaan. - Agensi

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28