Hubungan baik Malaysia-Jerman bawa mesej kemakmuran politik, ekonomi

Anwar bersalam dengan Scholz (kanan) selepas sidang akhbar bersama pada Majlis Sambutan Rasmi bersempena dengan lawatan rasmi enam hari beliau di Federal Chancellery, Berlin, Jerman pada 12 Mac lalu. Foto Bernama
Anwar bersalam dengan Scholz (kanan) selepas sidang akhbar bersama pada Majlis Sambutan Rasmi bersempena dengan lawatan rasmi enam hari beliau di Federal Chancellery, Berlin, Jerman pada 12 Mac lalu. Foto Bernama
A
A
A

RAMAI yang tidak menyedari lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jerman pada 10 hingga 15 Mac 2024 lalu telah diperkatakan di seluruh dunia.

Tumpuan dunia diberikan kepada ucapan Anwar yang mempertahankan Palestin dan mengkritik hipokrasi Barat mengenai peperangan yang berlaku di Gaza terutamanya pembunuhan kaum beramai-ramai warga Palestin oleh tentera rejim Israel.

Ini satu keberanian yang jarang berlaku dan dilakukan oleh pemimpin utama negara yang seterusnya menjadi jurucakap kepada dunia Islam dan masyarakat yang tertindas.

Meskipun tumpuan diberikan mengenai pembunuhan kaum di Gaza, matlamat lawatan Perdana Menteri adalah bagi mengeratkan persahabatan akrab di antara Malaysia dan Republik Persekutuan Jerman.

Antara program lawatan rasmi tersebut ialah pertemuan dua hala bersama Canselor, Olaf Scholz dan kunjungan hormat ke atas Presiden Frank-Walter Steinmeier pada 11 Mac 2024, selain pertemuan dengan Naib Canselor Dr Robert Habeck pada 13 Mac 2024.

Bagi rakyat Malaysia, tumpuan juga diberikan kepada mesyuarat meja bulat perniagaan dengan kapten-kapten industri dan sesi pertemuan bersemuka dengan syarikat-syarikat terkemuka tempatan dan Eropah pada 12 dan 15 Mac 2024.

Pertemuan itu dihadiri oleh 38 Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan juga Eksekutif kanan yang mewakili 23 syarikat terkemuka di Jerman.

Pertemuan itu penting bagi menjamin pelaburan asing daripada Jerman terus berkembang dan masuk ke Malaysia sebagai hub perdagangan global di rantau Asia Tenggara.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan data terkini, Malaysia adalah rakan dagangan terbesar Jerman di Asia Tenggara.

Pada 2023, nilai dagangan Malaysia dengan Jerman berjumlah RM63.5 billion, dengan peningkatan 1.8 peratus nilai eksport kepada RM30.56 bilion daripada RM30.03 billion pada tahun 2022.

Nilai pelaburan bagi 2023 ialah sebanyak 486 projek dengan penyertaan Jerman bernilai RM45.69 bilion (AS$12.08 bilion) telah dilaksanakan, dengan mewujudkan sejumlah 49,591 peluang pekerjaan.

Terdapat 700 syarikat Jerman yang sedang beroperasi di Malaysia.

Nilai dagangan di Selat Melaka yang berjumlah AS$3.5 trillion dan laluan lebih 80,000 kapal dagangan telah menarik minat Jerman untuk berada di Malaysia selain daripada kestabilan politik ekonomi yang wujud di Malaysia.

Berbalik kepada pertemuan dua hala Anwar dan Canselor Scholz dan kepimpinan Jerman, kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan dua hala, kerjasama ekonomi, isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Namun berkenaan situasi di Gaza, meskipun pendirian adalah berbeza, kedua-dua belah pihak bersependapat mengenai:

1) pelaksanaan gencatan senjata secara kekal,

2) keperluan mendesak bagi bantuan kemanusiaan berterusan kepada rakyat Palestin; dan

3) penyelesaian dua negara (two-state solution).

Perbincangan juga ada menyentuh tentang hubungan Jerman dan Malaysia dengan China.

Pihak Barat melihat China sebagai pencabar kepada kekuatan ekonomi Barat.

Melihat kepada isu kebergantungan terhadap China, Jerman cuba merungkaikan pergantungan tersebut dengan mengukuhkan hubungan luarnya dengan negara lain termasuk Malaysia.

Sebaliknya, Malaysia mengakui pengaruh China yang semakin berkembang dan menekankan komitmen Malaysia untuk mengekalkan hubungan baik Malaysia-China, sambil terus melindungi kedaulatan dan kepentingan negara.

Apa yang menarik ialah Malaysia telah menerima jemputan daripada Canselor Scholz untuk menyertai Climate Club.

Secara asasnya, Malaysia menerima baik jemputan ini kerana ianya selari dengan agenda Malaysia khususnya bersangkutan dengan teknologi hijau.

Malaysia juga yakin ini dapat dimanfaatkan dengan pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti yang boleh dimanfaat oleh warga Malaysia.

Ini akan mengukuhkan profil Malaysia bagi usaha tindakan iklim dan komitmen dalam memenuhi tanggungjawab di bawah Perjanjian Paris.

Tambahan lagi, ini akan mengulangi komitmen untuk memperluaskan kerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan (TVET), pendidikan tinggi, perubahan iklim dan tenaga boleh diperbaharui serta sektor perusahaan kecil sederhana.

Berbalik kepada isu politik ekonomi antara kedua-dua negara, hubungan Malaysia dan Jerman adalah sangat akrab.

Ini membolehkan perencanaan ekonomi dilakukan dengan baik.

Misalnya Jerman berharap agar Malaysia segera memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) bagi mempergiatkan lagi kerjasama ekonomi.

Dalam masa yang sama Malaysia meminta kerjasama Jerman yang juga negara utama yang mendominasi Kesatuan Eropah untuk merakamkan kebimbangan Malaysia mengenai impak daripada pelaksanaan Peraturan Penyahutanan Kesatuan Eropah (European Union Deforestation-free Regulation - EUDR) yang menyasarkan komoditi minyak sawit.

Malaysia menghargai kesudian Kerajaan Jerman untuk menjadi negara pengantara dengan Kesatuan Eropah dalam menyampaikan kebimbangan Malaysia serta isu-isu berkaitan dengan MEUFTA serta EUDR.

Selain itu, isu penyalahgunaan pendanaan litigasi pihak ketiga (Third Party Litigation Fund - TPLF) diperbincangkan dan Kuala Lumpur meminta agar pihak Jerman dapat menyokong usaha dan inisiatif sediada untuk mengawal selia industri pendanaan litigasi.

Hasil lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat berjaya untuk membawa potensi pelaburan ke Malaysia.

Misalnya, Malaysia telah meraih potensi pelaburan baru bernilai RM45.4 bilion daripada tujuh syarikat Eropah bagi jangka masa lima hingga 10 tahun.

Projek di bawah Syarikat X-Fab, Melexis dan Schott Glass yang telah diluluskan pada 2023 dengan jumlah pelaburan bernilai RM4.45 bilion juga dijangka menjana sebanyak 1,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Malah, Malaysia juga memperoleh tambahan RM1.4 bilion daripada Airbus hasil potensi jualan eksport produk dan perkhidmatan Malaysia ke Jerman dalam sektor aeroangkasa bagi tempoh 5 tahun akan datang.

Ini adalah sumbangan perbelanjaan import terkumpul Airbus sebanyak RM1.86 bilion kepada ekonomi Malaysia, sepanjang tiga tahun lepas.

Jelas terdapat banyak pelaburan berpotensi yang berasaskan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) termasuklah semikonduktor, aeroangkasa, kimia, peranti perubatan dan teknologi kaca yang menjadi sektor penting yang menyumbang kepada kemajuan industri dalam negara.

Berdasarkan data German Foreign Office, pihak Jerman juga memberi tumpuan kepada kerjasama pendidikan tinggi di Malaysia.

Terdapat lebih 114 perjanjian kerjasama antara universiti Jerman dan Malaysia khususnya di dalam bidang sains dan teknologi.

Kerjasama ini telah menyebabkan banyak program ijazah berganda, ijazah dual dan ijazah bersama selain pertukaran pelajar dan staf akademik dilakukan.

Malah beberapa institusi Jerman juga aktif mendokong institusi tempatan seperti Goethe Institute dan Konrad-Adenauer-Stiftung.

Secara keseluruhannya, lawatan rasmi sulung Perdana Menteri ke Jerman telah mencapai objektifnya dari aspek mengukuhkan persahabatan yang sedia erat antara kedua-dua negara dan meningkatkan kerjasama perdagangan dan peluang pelaburan untuk Malaysia.

* Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM)

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28