Kerajaan belum terima notifikasi larangan import getah dari Thailand

KPK masih belum menerima sebarang notifikasi larangan import getah asli oleh kerajaan Thailand atau punca larangan tersebut diadakan. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Chan Foong Hin)
KPK masih belum menerima sebarang notifikasi larangan import getah asli oleh kerajaan Thailand atau punca larangan tersebut diadakan. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Chan Foong Hin)
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) belum menerima sebarang notifikasi berkenaan larangan import getah asli oleh kerajaan Thailand atau punca larangan tersebut diadakan.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin bagaimanapun berkata, larangan tersebut di bawah bidang kuasa kerajaan gajah putih itu untuk memelihara industri getah tempatan selaku pengeluar getah asli terbesar dunia pada masa ini.

"KPK turut berpandangan perkara ini perlu dibincangkan oleh Syarikat Thung Yai Rubber Co. Ltd. secara terus dengan kerajaan Thailand bagi memastikan penyelesaian menang-menang bagi kedua-dua pihak.

"Oleh yang demikian, syarikat berkenaan turut memohon agar kerajaan Malaysia dan Thailand dapat menyelesaikan isu itu secara bilateral," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Syarikat Thung Yai Rubber Co. Ltd. merupakan usaha sama syarikat daripada Malaysia, China dan Thailand yang ditubuhkan pada 1998.

Syarikat tersebut menghasilkan STR10, STR20 dan STR Mixtures Rubber untuk kegunaan domestik Thailand dan dieksport ke China, Eropah dan negara Timur Tengah.

Sementara itu, Foong Hin berkata, KPK mengambil maklum kesukaran yang dialami oleh pemilik syarikat terlibat ekoran sekatan tersebut.

"Isu kekurangan bekalan getah asli mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti cuaca panas ketika ini dan harga getah.

Artikel Berkaitan:

"Malah bekalan tempatan sedia ada perlu dibeli pada harga yang tinggi kerana Thailand menetapkan larangan import getah asli daripada negara luar," ujarnya.

Difahamkan sejak sebulan lalu, kerajaan Thailand telah menyekat kemasukan getah dari Myanmar melalui Thailand untuk dieksport ke Malaysia.

Menerusi satu surat yang dilihat oleh Sinar Harian, sekatan tersebut melibatkan getah yang belum diproses sepenuhnya, namun komoditi yang sudah diproses dan menjadi dalam bentuk produk dibenarkan untuk tujuan eksport.

Surat yang dikeluarkan pemerintah Thailand juga berkata, sekatan itu akan terus dibuat sehingga Kementerian Luar dan Kementerian Perdagangan negara itu mencapai kata sepakat mengenai perkara tersebut.

Ekoran daripada itu, Sinar Harian diberitahu, sekatan tersebut telah menimbulkan masalah bukan sahaja kepada syarikat pengimport getah tempatan malah melibatkan syarikat berkaitan kerajaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!