Jenayah kekerasan, harta benda meningkat di Selangor tahun lalu

Hussein
Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Indeks jenayah kekerasan dan harta benda di Selangor mencatatkan peningkatan 714 kes atau 5.48 peratus tahun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, indeks kes tahun lalu merekodkan 13,739 kes berbanding 13,025 kes pada tahun 2022.

Menurutnya, peningkatan sebanyak 714 kes ini membabitkan dua kategori iaitu jenayah kekerasan dan jenayah harta benda.

"Kategori jenayah ini antaranya melibatkan pelbagai kes seperti bunuh, samun, curi dan pecah rumah.

"Peningkatan indeks jenayah ini berdasarkan faktor pertambahan penduduk setiap kawasan dan perkembangan sama ada dari segi ekonomi atau pelbagai faktor, namun Polis Selangor sentiasa komited untuk terus mengekang jenayah dan juga memastikan indeks jenayah sentiasa terkawal," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, pelbagai elemen pencegahan jenayah dilaksanakan Polis Selangor antaranya rondaan secara berjalan kaki, bermotosikal dan berkereta bagi memastikan keadaaan keselamatan masyarakat sentiasa terjamin.

Tambah Hussein, setiap perbuatan atau kegiatan jenayah yang dilakukan mana-mana individu pasti dapat dikesan pihak polis.

"Saya mahu ingatkan, kepada mereka yang terlibat jenayah di luar sana, hentikan daripada melakukannya, sebab lambat laun pasti polis akan kesan dan ditangkap.

Artikel Berkaitan:

"Tambahan pula kerjasama padu daripada masyarakat, itulah antara kekuatan yang kita ada bagi bersama membanteras sebarang jenayah di negeri ini," katanya.

Sabtu ini, masyarakat berpeluang berjumpa dengan Ketua Polis Daerah di 16 daerah seluruh Selangor bagi menyampaikan aduan selain mendapatkan reaksi positif berkait sebarang isu jenayah menerusi Hari Bertemu Pelanggan.

Program yang bermula jam 9 pagi sehingga 12 tengah hari ini dianjurkan sempena sambutan Hari Peringatan Polis ke-217.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!