[VIDEO] Agong kurnia 25,000 kampit beras kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf

A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan sumbangan 25,000 kampit beras 10 kilogram dengan nilai berjumlah lebih RM950,000 kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sepanjang bulan Ramadan menerusi Program Sumbangan Sembah Kurnia.

Azuan Effendy menyampaikan sumbangan kurnia Sultan Ibrahim kepada golongan kurang berkemampuan di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Azuan Effendy menyampaikan sumbangan kurnia Sultan Ibrahim kepada golongan kurang berkemampuan di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Bantuan tersebut diagihkan kepada 10 masjid sekitar ibu negara dengan agihan sebanyak 2,500 kampit setiap masjid.

Sumbangan Sembah Kurnia diagihkan kepada 10 masjid sekitar ibu negara dengan agihan sebanyak 2,500 kampit beras setiap masjid.
Sumbangan Sembah Kurnia diagihkan kepada 10 masjid sekitar ibu negara dengan agihan sebanyak 2,500 kampit beras setiap masjid.

Datuk Paduka Maharajalela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, pengagihan tersebut adalah cetusan Sultan Ibrahim dengan menggunakan dana peribadi baginda sendiri.

Menurutnya, golongan penerima dikenal pasti dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) dan jawatankuasa masjid-masjid sekitar Kuala Lumpur.

Azuan Effendy menyampaikan sumbangan kurnia Sultan Ibrahim kepada golongan kurang berkemampuan di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Azuan Effendy menyampaikan sumbangan kurnia Sultan Ibrahim kepada golongan kurang berkemampuan di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur pada Jumaat.

"Sumbangan ini adalah cetusan daripada hati dan sanubari baginda sendiri, yang mana baginda begitu prihatin nasib menimpa mereka yang kurang berkemampuan khususya sekitar Kuala Lumpur

Artikel Berkaitan:

"Setiap beras adalah daripada jenama yang baik. Walaupun nampak kecil, kurniaan beras ini ia begitu bermakna kepada mereka yang dalam kesusahan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan 25,000 Kampit Beras Kurniaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, apa yang diilhamkan Sultan Ibrahim bertepatan dengan situasi di mana rakyat sedang diuji dengan kemelesetan ekonomi yang turut mengakibatkan kenaikan harga barang.

Namun ujar beliau, fenomena tersebut bukan hanya berlaku di negara ini tetapi turut dihadapi di banyak negara lain.

"Jadi tidak ada cara lain melainkan mereka yang tidak berkemampuan ini diberikan bantuan yang secukupnya khususnya dalam bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

"Saya fikir atas faktor itu, baginda menzahirkan keprihatinan dengan berkenan untuk mengurniakan sekampit beras kepada setiap asnaf sekitar Kuala Lumpur, dan Insya-ALLAH akan diperluas ke negeri lain," katanya.

Dalam pada itu, salah seorang penerima, Nor Azila Sahbari, 32, berkata, sumbangan beras yang diterima amat bermakna buat mereka sembilan beranak yang kini diuji dengan dugaan hidup apabila suaminya tidak mampu bekerja.

Nor Azila Sahbari
Nor Azila Sahbari

Katanya, semua perbelanjaan keluarga kini ditanggung seorang diri dengan berniaga secara kecil-kecilan demi membesarkan tujuh anak.

"Suami saya menghidap kencing manis yang kronik menyukarkan dia untuk berjalan sejak dua tahun lalu.

"Jadi saya sangat hargai sumbangan beras ini. Terima kasih Tuanku...untuk sekampit beras ni kami boleh makan untuk seminggu atau lebih...dapatlah kami sekeluarga berjimat dan kurangkan beban berbelanja," katanya.

Seorang lagi penerima, Siti Nurliyana Zulkifli, 36, juga menzahirkan perasaan terharu dengan bantuan yang diterima.

Siti Nurliyana Zulkifli
Siti Nurliyana Zulkifli

"Bantuan ni boleh ringankan beban berbelanja kami sekeluarga kerana selama ini pun kami pun dapat bantuan bulanan asnaf daripada Baitulmal.

"Anak-anak sedang membesar, makan pun banyak, dengan harga beras 10 kilo (kg) pun agak tinggi bagi kami," katanya yang juga ibu kepada lima orang anak.

Sementara itu, penerima warga emas Sarimah Nordin, 60, turut mengucapkan rasa syukur atas sumbangan berkenaan.

Sarimah Nordin
Sarimah Nordin

"Terima kasih kepada Tuanku atas jasa baik memberi kami golongan asnaf. Terima kasih banyak-banyak. Moga Tuanku dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki," katanya.

Selain Masjid Saidina Hamzah, agihan beras juga telah dilaksanakan di Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Bandar Manjalara Rabu lalu.

Manakala agihan kepada lapan lagi masjid akan menyusul minggu hadapan meliputi Masjid Amru bin Al-'As, Bandar Baru Sentul; Masjid Al-Imam Al-Shafie, Maluri; Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah, Sri Rampai; Masjid Al-Akram,Datuk Keramat; Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan; Masjid Talhah bin Ubaidillah, Bukit Jalil; Masjid Al-Ikhlasiah, Bukit Kerinchi; dan Masjid Jamek Al Khadijiah, Pantai Dalam.