Ubah suai rumah teres seperti taska, rupanya sorok dadah

Allaudeen (tiga kanan) menunjukkan bungkusan pil eramin 5 yang dirampas JSJN Kuala Lumpur, Selasa lalu.
Allaudeen (tiga kanan) menunjukkan bungkusan pil eramin 5 yang dirampas JSJN Kuala Lumpur, Selasa lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Helah sindiket dengan menjadikan sebuah rumah teres yang diubah suai menyerupai pusat penjagaan kanak-kanak sebagai stor simpan bekalan dadah terbongkar selepas diserbu polis, pada Selasa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bermula kira-kira jam 3 petang.

Menurutnya, serbuan pertama di Cheras, Kuala Lumpur berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun.

"Soal siasat kemudian membawa serbuan kedua di sebuah rumah di Taman Dagang, Ampang di Selangor yang membawa rampasan dadah bernilai RM10.8 juta.

"Dadah yang dirampas ialah 213 kilogram (kg) syabu, 90 kg pil eramin 5 serta 3 kg heroin base," katanya dalam sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur pada Jumaat.

Polis turut merampas peralatan yang dipercayai diguna untuk pembungkusan dadah di sebuah rumah di Ampang, Selangor Selasa lalu.
Polis turut merampas peralatan yang dipercayai diguna untuk pembungkusan dadah di sebuah rumah di Ampang, Selangor Selasa lalu.

Beliau berkata, modus operandi sindiket ialah ubah suai rumah terbabit seperti pusat jagaan kanak-kanak atau taska dengan lakaran gambar kartun dan lukisan yang berwarna-warni bagi mengaburi pihak berkuasa.

Tambahnya, sindiket yang aktif sejak hujung tahun lalu dipercayai menyewa rumah itu dengan bayaran RM3,000 sebulan.

Artikel Berkaitan:

"Suspek berperanan sebagai pembawa dadah dengan dibayar upah RM20,000 berdasarkan penghantaran yang dibuatnya. Dadah itu dipercayai dibawa dari utara semenanjung sebelum diletakkan di rumah terbabit," ujarnya.

Tegas beliau, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket serta memanggil pemilik rumah terbabit.

Antara dadah yang dirampas JSJN Kuala Lumpur dalam serbuan di Lembah Klang, Selasa lalu.
Antara dadah yang dirampas JSJN Kuala Lumpur dalam serbuan di Lembah Klang, Selasa lalu.

"Suspek direman tujuh hari sehingga 26 Mac untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.

Justeru, Allaudeen menyeru masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak polis agar kegiatan jenayah dan dadah khususnya di ibu negara dapat diambil tindakan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!