Lelaki warga asing maut dilanggar kereta

Seorang lelaki dipercayai warga asing maut dilanggar kereta di Kilometer (KM) 119, Jalan Johor Bahru-Seremban dekat Yong Peng, malam Khamis. Gambar hiasan
Seorang lelaki dipercayai warga asing maut dilanggar kereta di Kilometer (KM) 119, Jalan Johor Bahru-Seremban dekat Yong Peng, malam Khamis. Gambar hiasan
A
A
A

BATU PAHAT – Seorang lelaki dipercayai warga asing maut dilanggar kereta di Kilometer (KM) 119, Jalan Johor Bahru-Seremban dekat Yong Peng, malam Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan tersebut daripada orang awam sekitar jam 11 malam.

“Kemalangan dipercayai berlaku sekitar 10.40 malam apabila seorang wanita warga tempatan berusia 58 tahun yang memandu kereta jenis Honda dari arah Labis ke Yong Peng telah terlanggar seorang pejalan kaki yang tiba-tiba berada di tengah jalan.

“Akibat perlanggaran itu, lelaki dipercayai warga asing dan berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian sementara pemandu wanita tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Cermin kereta Honda dipandu wanita berkenaan pecah selepas terlibat dalam insiden berkenaan. Foto IPD Batu Pahat
Cermin kereta Honda dipandu wanita berkenaan pecah selepas terlibat dalam insiden berkenaan. Foto IPD Batu Pahat

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 oleh pegawai penyiasat trafik, Inspektor Muhammad Asmai Md Yusoff.

Sementara itu, Ismail berkata, usaha giat dijalankan bagi mengesan majikan atau waris si mati.

“Mana-mana saksi awam yang melihat kejadian berkenaan boleh berhubung dengan pegawai penyiasat bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28