Protes antirejim landa Iran

Kumpulan pelajar terbabit melaungkan slogan antirejim ketika perhimpunan di ibu negara semalam. - Foto AGENSI
Kumpulan pelajar terbabit melaungkan slogan antirejim ketika perhimpunan di ibu negara semalam. - Foto AGENSI
A
A
A

TEHERAN - Polis Iran semalam menyuraikan kumpulan pelajar yang berhimpun di ibu negara dan mengutuk insiden pesawat Ukraine International Airlines ditembak jatuh secara tidak sengaja dan meragut 176 nyawa.

Agensi berita Fars melaporkan arahan bersurai itu dikeluarkan selepas kumpulan demonstrasi itu bertindak menghalang jalan utama hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Ratusan penuntut Universiti Amir Kabir mengadakan perhimpunan itu untuk memperingati kesemua mangsa penumpang yang terkorban dalam tragedi itu.

Ia kemudiannya bertukar menjadi tunjuk perasaan mengecam insiden tersebut selepas kumpulan pelajar terbabit melaungkan slogan 'penipu' dan menuntut pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat itu meletak jawatan.

Terdahulu, Iran mengaku ia tertembak jatuh pesawat Boeing 737 itu secara tidak sengaja tidak lama selepas ia berlepas dari lapangan terbang utama di Teheran.

Komander Aeroangkasa IRGC dalam satu kenyataan turut sedia memikul tanggungjawab penuh atas kejadian itu.

Namun, Brigadier Jeneral Amirali Hajizadeh berkata, pengendali peluru berpandu itu bertindak secara bebas menembak jatuh pesawat milik Ukraine International Airlines terbabit kerana menyangka ia adalah misil cruise.

Segelintir penuntut yang menyertai protes anti-rejim itu turut mengoyakkan poster komander kanan Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Leftenan Jeneral Qasem Soleimani yang terbunuh dalam serangan dron dilancarkan Washington pada 3 Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Kesemua mangsa penumpang kebanyakannya adalah pelajar dan rakyat tempatan serta warga Kanada disahkan terkorban dalam kejadian tersebut yang berlaku beberapa jam selepas Iran melancarkan 22 misil balistik menyasarkan dua pangkalan tentera Amerika Syarikat di Iraq pada awal pagi Rabu lalu. - AFP