'Teh O beng dalam plastik hitam'

Mohd Halimie menunjukkan teh O ais yang siap dibungkus.
Mohd Halimie menunjukkan teh O ais yang siap dibungkus.
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) mengesan taktik licik segelintir peniaga menggunakan perkhidmatan pesanan dan penghantaran untuk menjual makanan serta minuman lebih awal pada waktu siang di bulan Ramadan.

Ketua Bahagian Penguatkuasa MPKB-BRI, Mohd Halimie Mat Salleh berkata, peniaga terbabit dipercayai mengambil tempahan pelanggan dan berniaga sebelum jam 3 petang.

“Peniaga ini memberi alasan tidak tahu menjual makanan sebelum jam 3 petang walaupun secara dalam talian adalah satu kesalahan.

Mohd Halimie (kiri) mendengar penjelasan daripada peniaga.
Mohd Halimie (kiri) mendengar penjelasan daripada peniaga.

“Mana-mana peniaga yang berbuat demikian sudah melanggar Seksyen 107(2) Undang-undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MPKB-BRI 2019,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu Ramadan di sekitar bandar di sini pada Rabu.

Dalam operasi itu, seorang peniaga wanita berusia 47 tahun dikenakan kompaun kerana melanggar syarat berniaga awal pada bulan Ramadan.

Mohd Halimie berkata, pihaknya sebelum itu menerima aduan berkaitan kegiatan menjual makanan dipercayai kepada individu tidak berpuasa dan melakukan serbuan ke sebuah kedai makan di sini.

“Ketika diserbu, peniaga terbabit sedang membungkus teh O ais dan diletakkan dalam plastik berwarna hitam.

Artikel Berkaitan:

“Dia juga menerima pesanan enam nasi bungkus ayam goreng kunyit yang dipesan seorang lelaki bukan Melayu melalui dalam talian, namun apabila diperiksa nama pembeli tersebut dipercayai Melayu,” katanya.

Penguat kuasa mencatat kompaun kepada peniaga yang melanggar syarat lesen.
Penguat kuasa mencatat kompaun kepada peniaga yang melanggar syarat lesen.

Operasi turut disertai Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Jabatan Imigresen Malaysia Kelantan dan Polis Diraja Malaysia.

Selain itu, lima pengemis berusia 36 hingga 85 tahun ditahan termasuk seorang lelaki warga Thailand dalam operasi berkenaan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28