Syabas MAINJ, polis - Tunku Mahkota Ismail

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim mengucapkan syabas kepada MAINJ dan Polis Diraja Malaysia atas tindakan yang telah diambil berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH yang tular, baru-baru ini. Foto fail Bernama
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim mengucapkan syabas kepada MAINJ dan Polis Diraja Malaysia atas tindakan yang telah diambil berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH yang tular, baru-baru ini. Foto fail Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim mengucapkan syabas kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Polis Diraja Malaysia atas tindakan yang telah diambil berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH yang tular, baru-baru ini.

"Syabas. Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Polis Diraja Malaysia Kontinjen Johor sudah mengambil tindakan,” menurut hantaran di laman Facebook Pemangku Sultan Johor pada Selasa.

Terdahulu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid, memaklumkan bahawa tindakan tegas dan hukuman yang seadilnya hendaklah dikenakan ke atas mereka yang bertanggungjawab mencemarkan kemuliaan nama Allah, tambahan lagi ia berlaku pada bulan Ramadan yang mulia.

"Saya akan memastikan segala kekuatan perundangan berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 juga Perlembagaan Persekutuan serta Enakmen dan undang-undang yang berkuat kuasa ketika ini dapat dikuatkuasakan bagi membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan yang sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar dalam kenyataan berasingan berkata, pihak polis telah merampas lima pasang stoking tertera kalimah Allah dalam satu serbuan dan pemeriksaan menyeluruh di sebuah kilang di Taman Perindustrian Sri Gading, Batu Pahat.

Beliau berkata, kilang itu mendakwa stoking berkenaan telah diimport dari China dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298A/505(B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"PDRM Johor menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: