Pelan Pembangunan SMJ: UMNO Sabah minta penjelasan kerajaan negeri

Suhaimi
Suhaimi
A
A
A

SANDAKAN - Kerajaan negeri perlu menjelaskan kepada rakyat Sabah berhubung Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya dilancarkan sejak 2021 yang disifatkan gagal berdasarkan kepada isu kemudahan asas dan kemiskinan di lapan daerah.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, sejak pelan itu dilancarkan pada Mac 2021 rakyat tertanya-tanya tentang kejayaan kerajaan negeri dalam perkara tersebut.

“Isu kemudahan asas seperti jalan raya tidak diselenggarkan sehingga rakyat mengatakan jalan seperti di bulan, ada paip tetapi bekalan air bersih tiada dan bekalan elektrik dicatukan.

“Ini belum bercakap soal kemiskinan di lapan daerah yang diumumkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada khamis lalu,” katanya pada Rabu.

Suhaimi berkata kejayaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya sering dilaung-laungkan oleh kerajaan negeri tetapi tidak memberi manfaat kepada rakyatnya.

“Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan slogan semata-mata tetapi merupakan satu Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021-2025. Pada tahun pertama SMJ telah diperuntukan RM3.4 billion untuk memacu tiga sektor utama termasuk infrastuktur awam.

“Setiap sektor pertumbuhan telah diperuntukan dana untuk membiayai pelbagai inisiatif dalam pelbagai elemen SMJ. Bermula 2021, sebanyak 573 inisiatif telah dirangka akan dilaksanakan oleh 11 kementerian dan 21 jabatan serta agensi kerajaan dibawah Jabatan Ketua Menteri.

“Persoalannya, SMJ bukan satu slogan tetapi satu dasar dan perancangan yang disediakan dana tetapi di mana kejayaannya?” soalnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mempersoalkan Ketua Menteri atau menteri yang bertanggungjawab menjalankan pelan pembangunan SMJ tentang tahap pegukuran kejayaan sesebuah negeri yang mempunyai slogan Sabah Maju Jaya sebagai Jata kerajaan negeri.

Tegas Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran kerajaan negeri sepatutnya memberikan penekanan kepada segala usaha meningkatkan kemudahan asas dan menangani isu kemiskinan lapan daerah di bawah pelan berkenaan.

“Jangan hanya tahu menaikkan papan tanda SMJ di sana sini, sebaliknya kerajaan negeri lebih bertanggungjawab merangka strategi dalam aspek kemajuan ekonomi dan pembangunan infrastuktur yang merentasi sempadan politik bagi memastikan kepentingan rakyat,” jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28