PN hanya bermimpi, UMNO tetap teguh dengan Kerajaan Perpaduan

Ahmad (dua dari kanan) menunjukkan menu sihat pada Program Kesihatan Kesedaran Jantung Komuniti Benut di Dewan Muafakat Sungai Pinggan Benut, pada Sabtu.
Ahmad (dua dari kanan) menunjukkan menu sihat pada Program Kesihatan Kesedaran Jantung Komuniti Benut di Dewan Muafakat Sungai Pinggan Benut, pada Sabtu.
A
A
A

PONTIAN – Usaha Perikatan Nasional (PN) yang mahu menarik sokongan UMNO untuk membentuk kerajaan disifatkan sia-sia kerana Ahli Parlimen UMNO berpegang teguh kepada Kerajaan Perpaduan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan berterusan oleh PN untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan menunjukkan mereka begitu terdesak untuk menjadi kerajaan.

“Sekiranya Ahli Parlimen UMNO menukar sokongan kepada PN, Kerajaan Perpaduan tetap tidak akan jatuh kerana masih mempunyai majoriti iaitu 121 kerusi.

"Oleh itu, sifir mana yang PN pakai kononnya mampu menerajui kerajaan jika berjaya tarik sokongan Ahli Parlimen UMNO.

"Malangnya, empat Ahli Parlimen PN telah menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kesihatan Kesedaran Jantung Komuniti Benut di Dewan Muafakat Sungai Pinggan Benut, pada Sabtu.

Menurut Ahli Parlimen Pontian itu lagi, kesemua Ahli Parlimen UMNO telah menandatangani aku janji untuk setia kepada parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi mengelak tindakan berpaling tadah dilakukan.

"Begitu juga 10 Ahli Parlimen BN termasuk daripada UMNO yang sebelum ini dilaporkan menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri, mereka terikat dengan aku janji parti.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya tarik sokongan, mereka perlu membayar RM100 juta seorang kepada UMNO. Andai ada 1 billion 'turun' dari langit pun, Kkerajaan Perpaduan tidak akan jatuh dan situasi tersebut hanya merugikan Ahli Parlimen UMNO yang menyeberang ke blok pembangkang iaitu PN," ujarnya.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan PN masih berusaha menarik sokongan pemimpin UMNO yang tidak menyokong kerjasama parti itu dalam Kerajaan Perpaduan untuk bergabung dengan mereka.

Katanya, pencalonan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman adalah persediaan untuk PN mengambil alih pentadbiran kerajaan.