Pesan jaga rumah petanda ajal
SABAK BERNAM - Saya tak sangka pesanan arwah minta saya menjaga rumahnya rupanya petanda ajal dia pergi buat selamanya, kata Md Dahari Osman, 57.
Md Dahari merupakan bapa saudara kepada pemandu kereta Proton Satria, Mohamad Taslim Jamsari Mohamad, 31, yang meninggal dunia tengah hari tadi di Hospital Sungai Buloh (HSB) selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 448, Lebuh Raya Utara Selatan, dekat Sungai Buloh semalam.
Md Dahari berkata, Allahyarham Mohamad Taslim memberitahu dia dan keluarga ingin ke rumah kakaknya di Sepang dan berkemungkinan pulang esok.
"Saya sebak apabila arwah pulang dalam keadaan dia tidak lagi bernyawa dan turut terkorban bersama lima lagi keluarga yang lain," katanya.
Menurutnya, dia tidak sempat bersalam dengan Allahyarham dan ahli keluarga lain yang pergi ke Sepang kerana mereka bergerak awal.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu kereta mangsa kelima meninggal dunia
Katanya, Allahyarham yang bekerja sebagai mekanik sempat membaiki motosikal Honda EX5 milik salah penduduk kampung sebelum bergerak ke Sepang.
Sepupu Allahyarham, Mohd Arif Shafzan Akbar, 23, berkata, Mohamad Taslim yang berkahwin sejak dua tahun itu disifatkan sebagai seorang yang mesra dan sering membantu penduduk kampung.
"Arwah tidak mempunyai bengkel tetap, jadi dia gunakan rumahnya sebagai tempat membaiki kenderaan.
"Pemergian arwah kehilangan besar buat saya, keluarga dan penduduk di sini. Kami reda pemergiannya," katanya.
Jenazah Allahyarham dibawa ke rumah keluarganya di Parit 12, Sungai Nibong dan disembahyangkan di Surau Tanah Lesen sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 23, Sungai Nibong.
ARTIKEL BERKAITAN: Empat termasuk bayi maut nahas dua kenderaan
Dalam kejadian jam 12.05 tengah malam itu, empat sekeluarga iaitu Asiah Mat, 74, (nenek pemandu) dan Ain Faizra Mohd Yazid, 25, (isteri pemandu) maut di lokasi kejadian.
Dua lagi mangsa, Nur Tiara Arisha Muhammad Taslim, sembilan bulan (anak pemandu) dan Ruzi Osman, 54, (ibu pemandu) meninggal dunia ketika menerima rawatan di HSB.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, lima kematian direkodkan susulan kemalangan itu.
Katanya, sehingga kini tiada saksi bebas tampil atau dikesan bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.