Penoreh getah didakwa beri pinjam wang tanpa lesen

Tertuduh ketika diiringi anggota polis tiba di pekarangan mahkamah.
Tertuduh ketika diiringi anggota polis tiba di pekarangan mahkamah.
A
A
A

KUALA PILAH - Seorang penoreh getah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan memberi pinjaman wang tanpa lesen kepada seorang lelaki di daerah Jempol, tiga tahun lalu.

Tertuduh, K Parthiban, 45 membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah menjalankan perniagaan sebagai pemberi pinjaman wang tanpa lesen kepada seorang lelaki berusia 35 tahun dengan jumlah RM6,500.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 15 Mac 2021 dan 1 Julai 2021 di Ladang Kok Foh Mill, Jempol.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 5(2) Alta Pemberi Pinjam Wang 1951 (APPW) yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM250,000 tetapi tidak melebihi RM1 juta atau penjara selama lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum itu tertuduh dalam rayuannya memohon pengurangan wang ikat jaminan berikutan perlu menyara keluarga selain menanggung bapanya yang sakit.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah seterusnya membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 April ini sebagai sebutan semula kes.