Suspek tembak penyelia pengawal keselamatan masih diburu

Vijaya (tengah) menyaksikan penyerahan tugas Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara antara Mohd Khairi (kiri) kepada Mohd Rahimi di Kelab Kilat Pangsapuri TNB, Klang, Selangor pada Selasa.
Vijaya (tengah) menyaksikan penyerahan tugas Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara antara Mohd Khairi (kiri) kepada Mohd Rahimi di Kelab Kilat Pangsapuri TNB, Klang, Selangor pada Selasa.
A
A
A

KLANG - Polis masih memburu suspek yang menembak penyelia pengawal keselamatan dalam satu kejadian di Jalan Mokhtar, Kapar, dekat sini pada 6 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, meskipun belum ada petunjuk jelas menjurus kepada kes tersebut, namun siasatan dan pemburuan suspek masih giat dijalankan.

"Kes ini masih dalam siasatan dan polis masih giat memburu suspek.

"Polis telah meneliti kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di lokasi kejadian, namun plat kenderaan yang digunakan suspek adalah palsu.

"Sementara itu, mangsa telah keluar daripada Hospital Tengku Ampuan Rahmah (HTAR) setelah mendapat rawatan akibat kecederaan parah ditembak," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara di Kelab Kilat Pangsapuri TNB, dekat sini.

Serah terima tugas itu membabitkan Superintenden Mohd Khairi Shafie kepada Superintenden Mohd Rahimi Zainol.

Dalam majlis sama, berlangsung sesi penyerahan sumbangan kepada anak yatim dan anak istimewa, selain majlis berbuka puasa.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Vijaya berkata, lima individu yang ditahan pada malam kejadian telah dilepaskan dengan jaminan polis.

Beliau berkata, kesemua yang diambil keterangan merupakan kawan kepada mangsa.

Jelasnya, setelah berpuas hati dengan keterangan diberikan, kelima-lima yang ditahan telah dilepaskan setelah permohonan reman gagal diperoleh.

"Mangsa yang telah mendapatkan rawatan di HTAR telah memberi kenyataan kepada pihak polis berhubung kejadian tersebut.

"Meskipun telah keluar daripada wad, mangsa masih belum kembali bertugas," ujarnya.