Buah seralat jarang dijumpai, enak dibuat pencuci mulut

A
A
A

KULIM - Buah mentega atau lebih dikenali sebagai buah seralat di utara Semenanjung merupakan tumbuhan hutan yang jarang dijumpai namun amat terkenal dalam kalangan penduduk di kawasan pedalaman.

Jika sekali imbas, saiz dan warnanya seakan-akan buah epal manakala isinya berwarna putih enak dijadikan pencuci mulut.

Ahmad Che Ad, 71, dari Kampung Ulu Riau Sedim, di sini antara individu yang memiliki pokok buah mentega yang berusia hampir 50 tahun.

Ahmad bersama isterinya Che Su Awang Kecik,67 menunjukkan buah mentega yang terdapat di rumah mereka.
Ahmad bersama isterinya Che Su Awang Kecik,67 menunjukkan buah mentega yang terdapat di rumah mereka.

Katanya, hanya terdapat dua batang pokok spesies terbabit yang ditanam di dua kampung berbeza di Sedim.

"Saiz pokok ini agak tinggi dan selalunya mengeluarkan buah secara bermusim iaitu sekali dalam setahun.

"Buahnya akan ranum di pokok. Ia boleh dipetik, atau dikutip apabila gugur ke tanah. Kulit buah ini berbulu, jadi ia perlu dicuci terlebih dahulu sebelum dikupas," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Buah mentega sesuai dimakan sebagai juadah pencuci mulut bersama susu cair.
Buah mentega sesuai dimakan sebagai juadah pencuci mulut bersama susu cair.

Menurutnya, rasa buah terbabit tidak terlalu manis, namun berlemak dan sesuai dimakan sebagai juadah pencuci mulut.

"Buah ini boleh dimakan terus namun selalunya penduduk akan hiris isinya kecil-kecil dan di campur bersama susu cair lalu disejukkan.

"Ia boleh juga dipotong kecil dan dicampur dalam makanan lain seperti ais krim atau cendol juga," katanya.

Katanya, penjagaan pokok terbabit tidak sukar kerana kaedah pembajaan dan kawalan ulat sama seperti pokok buah-buahan yang lain.

"Namun mungkin kerana buahnya tiada nilai komersial menyebabkan pokok ini tidak ditanam secara meluas.

"Saya juga bercadang untuk menanam beberapa batang lagi pokok ini bagi mengelakkan ia pupus dan boleh generasi seterusnya kenal apa itu buah seralat," katanya.

Penduduk kampung memetik buah mentega untuk dijadikan pencuci mulut ketika berbuka.
Penduduk kampung memetik buah mentega untuk dijadikan pencuci mulut ketika berbuka.

Ujarnya, musim buah mentega pada tahun ini yang tiba ketika Ramadan, sekaligus membolehkan ia dijadikan juadah pencuci mulut ketika berbuka puasa.

"Kebetulan pokok berbuah agak lebat pada musim ini, jadi saya agih-agihkan kepada jiran supaya mereka juga mengenali buah terbabit yang juga ada banyak khasiatnya.

"Secara tradisinya, buah ini dipercayai membantu merawat sakit sembelit, mempunyai manfaat mengurangkan rabun dan penyakit selaput mata serta membantu melambatkan proses penuaan untuk tujuan kecantikan diri," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!